PEKERJA Malaysia beratur untuk kembali ke Singapura. FOTO tular FB.
PEKERJA Malaysia beratur untuk kembali ke Singapura. FOTO tular FB.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Ribuan pekerja Malaysia memenuhi Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini sejak 8 malam tadi untuk kembali bekerja di Singapura.

Ia selepas lebih seminggu sempadan Malaysia-Singapura dibuka pada 1 April lalu.

Kumpulan itu turut berkongsi pengalaman di Facebook dengan memuat naik gambar mereka beratur sehingga di tepi jalan utama CIQ itu, antara sejam hingga hampir tiga jam sebelum melepasi pemeriksaan di sempadan negara dan Pusat Pemeriksaan Woodlands, Singapura.

Hampir kesemua mereka masuk ke Singapura dengan berjalan kaki manakala yang lain menggunakan perkhidmatan bas.

Kebanyakan pekerja Malaysia turut dilihat memuat naik komen mahu supaya lebih banyak QR Code diletakkan di sekitar CIQ BSI supaya barisan tidak terlalu panjang, selain mahu lebih banyak kaunter Imigresen dibuka bagi mempercepatkan urusan pemeriksaan.

Yan Sofian Mustafa, 36, yang bertugas sebagai juruteknik antara ribuan pekerja Malaysia di Singapura yang beratur menaiki bas ke republik itu bagi memulakan tugas.

Yan Sofian berkata, dia terpaksa menggunakan perkhidmatan bas berikutan permohonan permit kemasukan kenderaan bermotor asing (VEP) masih belum diluluskan Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura.

"Saya sudah menghantar permohonan namun berlaku kesilapan teknikal sehingga menyebabkan kelulusan VEP belum diluluskan LTA Singapura.

"Buat masa ini saya akan berulang alik pada setiap hujung minggu sehinggalah VEP saya diluluskan.

Apabila diluluskan bolehlah saya kembali berulang alik menaiki motosikal setiap hari.

"Ribuan pekerja Malaysia yang beratur di CIQ BSI pun adalah sebahagiannya VEP kenderaan mereka masuk ke Singapura masih belum diluluskan. Sebab itulah suasana di CIQ BSI sesak luar biasa sejak 8 malam tadi, manakala laluan motosikal langsung tidak sesak setakat ini," katanya ketika dihubungi.

Pada 1 April lalu, media melaporkan ribuan rakyat Malaysia yang sebelum ini terkandas di Singapura sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020 lalu, akhirnya kembali ke tanah air bermula detik 12.01 tengah malam tarikh berkenaan.

Tinjauan di Tambak Johor awal pagi 1 April mendapati, lebih separuh daripada rakyat Malaysia yang pulang melintas tambak sejauh 2.5 kilometer berkenaan berjalan beramai-ramai, selain ada yang menaiki basikal.

Deretan motosikal dan kereta turut dilihat beratur dengan sabar di laluan masing-masing di Tambak Johor menunggu giliran untuk kembali ke tanah air.

Dalam pada itu, seorang lagi pekerja Malaysia di Singapura, Shahruddin Haeal Helmy Mohd Noh, 34, berkata, kebanyakan pekerja Malaysia dijangka akan mula berulang-alik menunggang motosikal menjelang akhir bulan ini.

Katanya, dia antara yang bernasib baik apabila permohonan VEP sudah diluluskan sejak seminggu lalu dan membolehkannya berulang-alik dengan menunggang motosikal.

"Kebanyakan yang pulang sejak petang dan malam tadi juga masih mempunyai kontrak sewa bilik di Singapura, menyebabkan ramai yang bertolak seawal petang bagi mengelak menempuh kesesakan luar biasa pagi ini pula.

"Kebanyakan rakyat Malaysia juga lebih gemar berjalan dari CIQ JB ke Singapura kerana lebih mudah dan cepat berbanding menaiki bas yang memerlukan masa lebih lama sedikit bagi pemeriksaan di laluan Imigresen," katanya.

Dalam pada itu, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pihak Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengambil tindakan segera untuk mengurangkan kesesakan di CIQ BSI sejak malam tadi.

"Saya juga telah turun padang untuk melihat keadaannya sendiri. Saya mohon maaf diatas segala kesulitan dan kekhilafan yang berlaku.

"Kita akan perbaiki lagi sistem sedia ada supaya perkara ini dapat dielakkan pada masa akan datang," katanya menerusi akaun Facebook miliknya tengah malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2022 @ 9:12 AM