Tiga beranak maut manakala seorang lagi terselamat dalam kebakaran rumah kedai dua tingkat di Jalan Balik Pulau, di sini, hari ini. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Tiga beranak maut manakala seorang lagi terselamat dalam kebakaran rumah kedai dua tingkat di Jalan Balik Pulau, di sini, hari ini. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Audrey Dermawan


Balik Pulau: "Ibu terus berlari masuk semula ke dalam rumah yang sedang terbakar apabila menyedari adik perempuan masih berada di dalam sebelum diikuti abang."

Begitu kata Abdul Rashideen Saida Mohamed, 29, satu-satunya mangsa terselamat dalam kebakaran rumah kedai dua tingkat yang mengorbankan nyawa tiga ahli keluarganya di Jalan Balik Pulau, di sini, hari ini.

Abdul Rashideen berkata, dia juga mahu masuk ke dalam rumah untuk membantu mereka, tetapi api begitu marak dengan bahang terlalu panas.

Menurutnya, cubaannya untuk masuk ke rumah gagal dan berasa mahu pengsan.

"Ia adalah detik terakhir saya melihat mereka. Mereka gagal keluar dari rumah (yang terbakar)," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Balik Pulau, di sini.

Dalam kebakaran itu, mangsa yang maut adalah Noorul Bowjiya Saida Mohamed, 58, dan dua anaknya Mohammmad Ibrahim, 33, dan N Rahbiah Jasmin, 19.

Abdul Rashideen berkata, kebakaran berkenaan disedari ibunya apabila melihat asap di pintu masuk premis lalu menjerit ke arah mereka yang sedang tidur di tingkat atas.

"Saya bersama abang yang terkejut kemudian turun ke bawah dan orang ramai yang melihat asap bertindak menghubungi bomba.

"Dalam tempoh singkat, api semakin marak dan keadaan bertukar gelap.

"Kini saya tiada sesiapa lagi, hanya tinggal seorang diri," katanya memaklumkan bapanya meninggal dunia sekian lama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 2:59 PM