TIGA beranak maut manakala seorang lagi terselamat dalam kebakaran rumah kedai dua tingkat di Jalan Balik Pulau, di sini, hari ini. FOTO Zuhainy Zulkiffli
TIGA beranak maut manakala seorang lagi terselamat dalam kebakaran rumah kedai dua tingkat di Jalan Balik Pulau, di sini, hari ini. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Zuhainy Zulkiffli


Balik Pulau: Tiga beranak maut manakala seorang lagi terselamat dalam kebakaran rumah kedai dua tingkat di Jalan Balik Pulau, di sini, hari ini.

Dua daripada mangsa adalah adik beradik dan seorang lagi ialah ibu mereka.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Balik Pulau, Mohd Faris Mansor berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.06 pagi.

Katanya, anggota bergegas ke lokasi bersama dua jentera dengan dibantu pasukan dari BBP Balik Pulau.

"Sebaik tiba, didapati api marak dan kita terima maklumat terdapat tiga mangsa terperangkap di dalamnya.

"Penugasan pemadaman turut membabitkan tiga jentera tangki air selain mengawal api daripada merebak," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohd Faris berkata, semua mangsa ditemukan di tingkat bawah premis berkenaan.

Katanya, kebakaran mencetuskan asap tebal kerana ia membabitkan barangan perabot seperti permaidani dan tilam.

"Difahamkan ketika kejadian, ibu bersama tiga anaknya yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang perempuan berada di dalam rumah itu.

"Pada mulanya, ibu bersama dua anak lelaki berjaya keluar dari rumah namun sebaik menyedari bahawa adik perempuannya tidur di tingkat atas, anak lelaki dan ibunya masuk semula menyebabkan mereka berdua turut terperangkap," katanya.

Menurut Mohd Faris, punca dan kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu di lokasi, mangsa yang terselamat iaitu anak kedua daripada tiga beradik, dilihat pitam beberapa kali dan masih terkejut dengan kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 11:19 AM