TIGA beranak maut manakala seorang lagi terselamat dalam kebakaran rumah kedai dua tingkat di Jalan Balik Pulau, di sini, semalam. FOTO Zuhainy Zulkiffli
TIGA beranak maut manakala seorang lagi terselamat dalam kebakaran rumah kedai dua tingkat di Jalan Balik Pulau, di sini, semalam. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Zuhainy Zulkiffli


Balik Pulau: Polis mengesahkan kematian tiga beranak yang maut dalam kebakaran rumah kedai di Jalan Balik Pulau, di sini, semalam, tidak membabitkan jenayah.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, ia berdasarkan laporan bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Balik Pulau (HBP).

Katanya, bedah siasat pertama dilakukan pada jam 4.03 petang semalam membabitkan Noorul Bowjiya, 58, iaitu ibu kepada dua lagi mangsa.

Manakala bedah siasat kedua dijalankan pada jam 8.40 malam tadi membabitkan mangsa, Rahbiah Jasmin Saida Mohamed, 20.

Sementara bedah siasat mangsa terakhir, Mohammad Ibrahim, 33, dilakukan jam 9 pagi hari ini.

"Hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas semua mangsa mendapati tiada sebarang unsur jenayah.

"Punca kematian ketiga-tiga mangsa adalah disahkan tersedut asap (smoke inhalation)," katanya di sini, hari ini.

Jenazah kesemua mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid At-Taqwa, Balik Pulau.

Semalam, Harian Metro melaporkan kejadian berkenaan menyebabkan kematian balu dan dua anaknya, manakala seorang lagi, Abdul Rashideen, 30, terselamat.

Dalam kejadian pada jam 6.20 pagi itu, Abdul Rashideen bersama abang dan ibunya berjaya keluar menerusi pintu belakang namun abang dan ibunya masuk semula ke dalam rumah sebaik menyedari adiknya tidur di tingkat atas.

Jenazah ketiga-tiga mangsa ditemukan bertindan di bahagian tengah rumah berkenaan.

Premis berkenaan menjalankan perniagaan jualan permaidani, tikar dan kain sejak 20 tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 5:35 PM