Zuhainy Zulkiffli


Balik Pulau: Polis mengesahkan identiti tiga beranak yang maut dalam kebakaran rumah kedai dua tingkat di Jalan Balik Pulau di sini, hari ini.

Mangsa ialah Noorul Bowjiya Saida Mohamed, 58, Mohammad Ibrahim Saida Mohamed, 33 dan N Rahbiah Jasmin, 19.

Manakala anak lelaki wanita berkenaan, Abdul Rashideen, 29, terselamat dalam kejadian malang itu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, Noorul Bowjiya yang juga seorang balu tinggal bersama tiga anaknya yang masih bujang dan mereka sekeluarga mengusahakan perniagaan.

"Siasatan awal menemukan jasad tiga beranak berkenaan di bahagian bawah rumah berkenaan," katanya di lokasi, hari ini.

Kamarul Rizal berkata, punca kejadian masih dalam siasatan.

Jenazah dihantar ke Hospital Balik Pulau bagi tujuan bedah siasat.

Sementara itu, Abdul Rashideen enggan ditemubual kerana masih trauma dan dilihat beberapa kali pitam berikutan kejadian yang menimpa keluarganya.

Mangsa kemudian dilihat dibawa oleh jirannya ke sebuah premis untuk ditenangkan.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Balik Pulau, Mohd Faris Mansor berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.06 pagi.

Katanya, kebakaran mencetuskan asap tebal kerana ia membabitkan barangan perabot seperti permaidani dan tilam.

Peniaga berhampiran yang mahu dikenali sebagai Hong, 72, berkata, ketika kejadian, dia baru membuka operasi kedai minuman.

"Saya lihat banyak kenderaan berhenti dan tunjuk sesuatu di luar sebelum saya keluar dari premis.

"Saya buntu tidak tahu hendak buat apa sebaik melihat api marak dan hanya mampu berteriak memanggil penghuni rumah kedai itu supaya keluar.

"Kami selalu berjumpa kerana premisnya terletak berhampiran kedai minuman saya dan mereka orang yang baik," katanya.

Difahamkan ketika kejadian, ibu bersama tiga anaknya itu di dalam rumah berkenaan.

Pada mulanya, ibu bersama dua anak lelaki berjaya keluar dari rumah namun sebaik menyedari bahawa adik perempuannya tidur di tingkat atas, anak lelaki dan ibunya masuk semula menyebabkan mereka berdua turut terperangkap.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 1:01 PM
ANGGOTA bomba menjalankan pemeriksaan di lokasi kebakaran yang mengakibatkan tiga beranak maut di Jalan Balik Pulau, di sini, hari ini. FOTO Zuhainy Zulkiffli
ANGGOTA bomba menjalankan pemeriksaan di lokasi kebakaran yang mengakibatkan tiga beranak maut di Jalan Balik Pulau, di sini, hari ini. FOTO Zuhainy Zulkiffli