ALAT pengukur tekanan darah digital yang dirampas kerana tiada kelulusan MDA dan tiada jaminan berfungsi dengan selamat. FOTO OWEE AH CHUN
ALAT pengukur tekanan darah digital yang dirampas kerana tiada kelulusan MDA dan tiada jaminan berfungsi dengan selamat. FOTO OWEE AH CHUN
Oleh Nor Azizah Mokhtar


Puchong: Jual set alat pengukur tekanan darah digital tidak berdaftar secara haram kepada klinik dan orang ramai melalui laman e-dagang di negara ini.

Kegiatan itu bagaimanapun dibongkar apabila Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyerbu premis gudang di Taman Perindustrian Alam Perdana di sini, kelmarin dan merampas 1,285 alat pengukur tekanan darah digital bernilai lebih RM100,000.

Serbuan dilakukan sepasukan anggota dan pegawai penguat kuasa MDA, kira-kira jam 4 petang diketuai Ketua Eksekutif MDA KKM, Dr P Muralitharan hasil aduan dan risikan.

Muralitharan berkata, MDA menerima aduan bahawa syarikat berkenaan i mengedarkan peranti perubatan yang tidak berdaftar sebelum menjalankan risikan pertama pada 27 Januari lalu.

"MDA seterusnya mengeluarkan arahan kepada syarikat itu untuk menghentikan jualan. Namun hasil risikan dan penyamaran dilakukan mendapati syarikat itu gagal mematuhi arahan berkenaan.

"Semakan mendapati syarikat ini tiada lesen menjual dan mengedar peranti perubatan di Malaysia, yang mana barangan itu dibawa masuk dari China," katanya, semalam.

Menurut Muralitharan, 1,285 unit alat pengukur tekanan darah digital serta dan sembilan unit termometer inframerah dianggarkan bernilai RM111,233 dirampas dalam serbuan ini.

"Kebanyakan peranti perubatan ini dijual kepada syarikat, klinik dan individu melalui e-dagang dan secara langsung.

"Syarikat ini dipercayai terbabit aktiviti pengimportan peranti perubatan ini sejak Oktober 2019," katanya.

Menurutnya, syarikat itu jelas melanggar Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737) dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 5(1), Seksyen 15 (1) dan Seksyen 44 (1) akta berkenaan.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda sehingga RM300,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya khuatir penjualan peranti perubatan tidak berdaftar boleh menimbulkan masalah kepada pengguna kerana tiada jaminan alat itu berfungsi dengan baik dan berkesan.

"Sebab itu kita minta orang awam pastikan dahulu peranti perubatan dibeli itu berdaftar dan mempunyai kelulusan dari MDA.

"Peruncit, penyedia perkhidmatan kesihatan dan orang awam dinasihatkan menyemak status lesen establisment syarikat yang membekalkan peranti perubatan dan status pendaftaran sesuatu peranti perubatan terlebih dahulu sebelum pembelian," katanya.

Semakan boleh dibuat melalui laman sesawang MDA di www.mda.gov.my dan melalui sistem carian peranti perubatan mdar.mda.gov.my.

ANGGOTA  MDA memeriksa kotak berisi peranti perubatan  yang dirampas dalam serbuan.
ANGGOTA MDA memeriksa kotak berisi peranti perubatan yang dirampas dalam serbuan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2023 @ 7:01 AM