ANTARA warga asing yang diperiksa pihak berkuasa. FOTO JIM Johor
ANTARA warga asing yang diperiksa pihak berkuasa. FOTO JIM Johor
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Seramai 122 warga asing bersama dua majikan warga tempatan ditahan Jabatan Imigresen (JIM) dalam operasi di Batu Pahat, semalam.

Ops Mahir pada 11.55 malam itu dilaksanakan berikutan maklumat awam mengenai sebuah gudang hub utama pengumpulan dan pengagihan barang kiriman dan pembungkusan yang menggaji pekerja tanpa pas atau permit yang sah.

Pemangku Pengarah Imigresen Johor Mohd Faizal Shamsudin berkata, dalam operasi itu seramai 148 warga asing dan tempatan diperiksa dengan 122 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan.

"Mereka yang ditahan adalah 49 lelaki warga Pakistan, 41 lelaki warga Myanmar, 25 lelaki warga India, tiga lelaki warga Bangladesh serta masing-masing seorang lelaki warga China, Nepal, Indonesia dan Sudan.

"Semua berusia antara 19 tahun hingga 53 tahun. Kita turut menahan lelaki warga tempatan berusia 29 tahun yang juga pengurus dan wanita tempatan berusia 27 tahun bertugas sebagai pegawai sumber manusia," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, Mohd Faizal berkata, dalam operasi berasingan, seramai 106 warga asing ditahan pihaknya kira-kira 10.35 pagi semalam, selepas satu serbuan dibuat ke atas kilang komponen plastik 23 Mei di Senai.

Beliau berkata, tindakan Ops Bersama (hotspot) itu dibuat selepas menerima maklumat awam mengenai kewujudan warga asing yang bekerja tanpa pas atau lermit yang sah di premis berkenaan.

"Dalam operasi ini, seramai 249 warga asing dan tempatan diperiksa dan 106 warga asing ditahan.

"Mereka yang ditahan adalah 18 lelaki dan 33 wanita warga Myanmar, 15 lelaki warga Pakistan, 13 lelaki warga India, empat lelaki dan 13 wanita warga Indonesia, empat lelaki warga Bangladesh dan enam lelaki warga Nepal yang masing-masing berusia antara 20 tahun hingga 48 tahun," katanya.

Menurut Mohd Faizal, semua warga asing yang ditahan dalam dua operasi berkenaan dipercayai dengan munasabah melakukan kesalahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Seksyen 15(1)(c) akta sama.

"Manakala, kedua-dua warga tempatan ditahan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 4:34 PM