JIM johor menahan 50 PATI termasuk dua kanak-kanak dalam pemeriksaan 63 premis di Johor Bahru, Muar, Pontian dan Batu Pahat, semalam. FOTO IHSAN JIM
JIM johor menahan 50 PATI termasuk dua kanak-kanak dalam pemeriksaan 63 premis di Johor Bahru, Muar, Pontian dan Batu Pahat, semalam. FOTO IHSAN JIM
Omar Ahmad


Johor Bahru: Seramai 50 warga asing termasuk dua kanak-kanak ditahan Jabatan Imigresen (JIM) dalam serbuan berasingan di bandar raya ini, Batu Pahat, Muar dan Pontian, semalam.

Pengarah Imigresen Johor Baharuddin Tahir berkata, warga asing terbabit ditahan kerana dipercayai bekerja dan tinggal di negara ini tanpa sebarang pas atau permit yang sah, selain ada yang tinggal lebih masa di Malaysia.

"Penahanan kesemua warga asing itu hasil pemeriksaan terhadap 63 premis, membabitkan 34 premis di Johor Bahru, Batu Pahat (13), Pontian (11) dan Muar (5) .

"Dalam operasi ini, seramai 266 warga asing diperiksa dan 50 daripadanya termasuk dua kanak-kanak ditahan.

"Penahanan membabitkan 26 warga Myanmar, Indonesia (tujuh), Bangladesh (tujuh), Nepal (empat) dan masing-masing seorang dari India, Vietnam dan Pakistan, mereka berusia tiga hingga 52 tahun," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Katanya, kesemua mereka dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2024 @ 12:09 PM