Seramai 44 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor dalam satu operasi di Muar, kelmarin. FOTO JIM NEGERI JOHOR
Seramai 44 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor dalam satu operasi di Muar, kelmarin. FOTO JIM NEGERI JOHOR
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Seramai 44 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor dalam satu operasi di Muar, kelmarin.

Operasi yang dijalankan sepasukan pegawai dari Unit Penguatkuasa Imigresen Cawangan Muar itu menyerbu 11 premis termasuk sebuah kilang besi dan beberapa lokasi panas sekitar daerah itu.

Pemangku Pengarah Imigresen Negeri Johor, Mohd Faizal Shamsudin berkata, operasi itu dilakukan susulan maklumat awam berhubung pendatang asing tanpa asing (Pati) yang disyaki bekerja tanpa pas atau permit yang sah di premis berkenaan.

"Dalam operasi itu, seramai 110 warga asing dan tempatan diperiksa dan 44 daripadanya telah ditahan atas pelbagai kesalahan.

"Mereka yang ditahan adalah 14 lelaki dan tiga wanita warga Thailand, 20 lelaki warga Bangladesh, tiga lelaki warga China dan seorang wanita warga Indonesia yang mana masing-masing berusia antara 15 hingga 46 tahun," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak lima notis hadir ke pejabat dikeluarkan dalam operasi berkenaan bagi membantu siasatan.

Sementara itu, menurut Mohd Faizal, pihaknya terus memperkasakan pemeriksaan dan pemantauan di seluruh negeri ini termasuk di sekitar daerah ini dengan 21 premis diperiksa dalam pelbagai operasi pada kelmarin dan semalam.

"Dalam operasi-operasi itu, seramai 131 warga asing dan tempatan telah diperiksa dengan 27 orang ditahan atas pelbagai kesalahan.

"Mereka yang ditahan adalah seorang lelaki dan tujuh wanita warga Myanmar, 12 lelaki dan seorang wanita Indonesia, dua lelaki warga Pakistan, seorang lelaki dan seorang wanita warga Filipina, masing-masing seorang lelaki warga India dan Bangladesh yang semuanya berusia antara 22 hingga 53 tahun," katanya.

Menurut Mohd Faizal, semua warga asing yang ditahan dalam semua operasi yang dijalankan dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang ditetapkan dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa.

Katanya, mereka turut dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia.

Pada masa sama, Mohd Faizal berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan lagi usaha penguatkuasaan di negeri ini terutamanya di daerah-daerah terpencil bagi membanteras isu kebanjiran Pati.

"Tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap Pati serta majikan dan pemilik premis yang masih menggaji pekerja asing tanpa dokumen perjalanan dan pas atau permit yang sah.

"Kita turut menyeru kepada Pati yang layak, untuk menyertai Program Repatriasi Migran yang akan tamat pada 31 Disember nanti bagi bertujuan mereka pulang ke negara asal secara sukarela," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 1:19 PM