Izz Laily Hussein


Kulai : Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor menahan 85 orang pendatang asing tanpa izin (Pati), dipercayai bekerja tanpa permit yang sah dalam Ops Mahir di sebuah kilang dekat Senai di sini, semalam.

Pengarah Imigresen Negeri Johor, Baharuddin Tahir berkata, operasi jam 11 pagi itu dijalankan selepas pihaknya mendapat maklumat berhubung Pati yang disyaki bekerja tanpa pas atau permit yang sah di kilang komponen yang terletak di lokasi sekitar Senai itu.

"Dalam operasi itu, kita memeriksa 328 warga asing serta tempatan, dan menahan 69 lelaki warga Bangladesh, tujuh lelaki warga India, empat lelaki warga Sri Lanka serta dua lelaki dan dua wanita warga Myanmar berusia antara 20 hingga 47 tahun.

JABATAN Imigresen Malaysia Johor menahan 125 Pati dalam pelbagai operasi dekat Senai di sini, semalam selepas dipercayai bekerja tanpa permit sah.  FOTO JIM Johor
JABATAN Imigresen Malaysia Johor menahan 125 Pati dalam pelbagai operasi dekat Senai di sini, semalam selepas dipercayai bekerja tanpa permit sah. FOTO JIM Johor

"Turut ditahan seorang wanita warga tempatan berusia 42 tahun yang dipercayai melindungi warga asing terbabit," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, mereka yang ditahan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia; Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang ditetapkan.

Katanya, wanita warga tempatan itu ditahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi warga asing.

"Sebanyak dua notis hadir ke pejabat juga dikeluarkan kepada individu yang terbabit dalam operasi itu bagi membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan sejurus operasi terbabit, Baharuddin berkata, pihaknya menahan 40 lagi warga asing di sekitar Senai di sini, atas kesalahan sama selepas dipercayai bekerja tanpa permit yang sah dan tinggal lebih masa di Malaysia.

Menurutnya, tangkapan itu dibuat dalam pelbagai operasi iaitu Ops Selera, Ops Belanja, Ops Sapu dan Ops Kutip yang dijalankan di premis sekitar lokasi panas kira-kira 3.50 petang susulan aduan awam.

"Dalam beberapa operasi ini, seramai 110 warga asing serta tempatan diperiksa sebelum 40 warga asing ditahan.

"Mereka yang ditahan adalah sembilan lelaki dan 10 wanita warga Indonesia, dua lelaki dan sembilan wanita warga Myanmar, enam lelaki warga Bangladesh, dua lelaki warga Pakistan, seorang lelaki warga Nepal dan seorang lelaki warga India dan semuanya berusia antara 19 hingga 57 tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2024 @ 12:11 PM