Persiapan di tapak pameran sempena Hari Wartawan Nasional 2024 di Pusat Membelibelah Plaza Merdeka, Kuching.Hawana 2024 yang dijadual pada 25 - 27 MEI 2024 akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. FOTO NADIM BOKHARI
Persiapan di tapak pameran sempena Hari Wartawan Nasional 2024 di Pusat Membelibelah Plaza Merdeka, Kuching.Hawana 2024 yang dijadual pada 25 - 27 MEI 2024 akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. FOTO NADIM BOKHARI
Mohd Roji Kawi


Kuching: Persiapan bagi menyambut Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2024 giat dijalankan bagi memastikan kelancaran penganjuran sambutan itu yang julung kali diadakan di luar Semenanjung.

Tinjauan mendapati petugas kini sibuk membuat persiapan antaranya di Plaza Merdeka Shopping Centre yang akan menjadi lokasi pameran Hawana 2024.

Pelbagai peralatan media lama dan sejarah media di Sarawak akan dipamerkan di Atrium Utama Plaza Merdeka Shopping Centre itu.

Pameran itu bermula esok hingga 27 Mei ini akan dibuka bermula jam 10 pagi sehingga 5 petang.

Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dalam kenyataan memaklumkan antara bahan yang akan dipamerkan ialah peralatan yang digunakan media sebelum ini seperti kamera lama, radio lama, alat rakaman, kamera video selain sejarah penubuhan media di Sarawak.

Sebanyak 17 agensi mengambil bahagian dalam pameran itu dengan mempamerkan perkhidmatan masing-masing antaranya UKAS, TVS, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sarawak, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Sarawak dan Jabatan Penerangan (JAPEN) Sarawak.

Turut serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Sarawak Tourism Board (STB) serta media tempatan Sarawak antaranya CATSfm, Borneo Post, Utusan Borneo, See Hua, Sarawak Tribune, Suara Sarawak, Sin Chew Daily, Utusan Sarawak dan Kupi-Kupi fm.

Tidak ketinggalan menyertai pameran Hawana 2024, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM), Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) dan UDA Holdings.

Pameran Hawana 2024, akan dirasmikan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil esok dan kemuncak sambutan pada Isnin ini akan dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hawana diperkenalkan di ibu negara pada 2018 dan sambutan berikutnya diadakan di Melaka pada 2022 dan kemudian dibawa ke Perak pada 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 12:59 PM