BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang penganggur dihukum penjara berjumlah sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mengaku bersalah mencabul seorang wanita, menghina serta meludahnya.

Majistret Ahmad Solihin Abdul Wahid menjatuhi hukuman penjara tiga bulan terhadap Wan Ibrahim Hamid, 37, kerana menggunakan kekerasan jenayah menolak dada seorang wanita berumur 24 tahun dengan maksud hendak mencabul kehormatannya di platform bas RapidKL di depan pasar raya Mydin Pudu, 8 malam, 18 September lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau antara dua daripada hukuman itu.

Dia juga dihukum penjara tiga bulan kerana mengeluarkan kata-kata kesat menghina mangsa serta meludahnya di tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 509 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Mahkamah turut menjatuhi hukuman penjara tiga bulan terhadap lelaki itu kerana gagal menunjukkan kad pengenalan kepada anggota polis yang membuat pemeriksaan di perhentian bas Jalan Tun Tan Siew Sin pada 8.15 malam, hari sama.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani semua hukuman penjara itu serentak dari tarikh ditangkap pada 18 September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2016 @ 9:02 PM