KUI Lun, gambar fail.  FOTO NSTP
KUI Lun, gambar fail. FOTO NSTP
Muhammad Yusri Muzamir


Kuala Lumpur: Jumlah penduduk Melayu di Kuala Lumpur yang lebih ramai berbanding Cina dan India dikatakan antara alasan DAP mencadangkan pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sehubungan itu, Bendahari DAP, Fong Kui Lun, menafikan dakwaan pelaksanaan cadangan berkenaan akan mewujudkan polarisasi kaum yang semakin lebar dalam kalangan penduduk di ibu kota.

Kui Lun yang juga Timbalan Pengerusi DAP Kuala Lumpur berkata, semua kaum wajar diberi peluang sama rata untuk bertanding jika pilihan raya PBT dilaksanakan di Kuala Lumpur kelak.

Malah, Ahli Parlimen Bukit Bintang itu menegaskan tiada keperluan mewujudkan kuota mengikut kaum bagi tujuan pelaksanaan cadangan berkenaan.

"Jumlah penduduk Melayu di Kuala Lumpur lebih ramai berbanding Cina dan India. Jika keseluruhan masyarakat Cina dan India di Kuala Lumpur digabungkan pun belum boleh mengatasi bilangan kaum Melayu.

"Malah, DAP pun turut dianggotai masyarakat Melayu, selain keahlian PKR membabitkan semua kaum dan Umno pula adalah parti berteraskan Melayu.

"Justeru, tidak wujud isu polarisasi kaum semakin melebar sekiranya pilihan raya PBT dilaksanakan di Kuala Lumpur," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas kegusaran pelbagai pihak berhubung pelaksanaan pilihan raya PBT di Kuala Lumpur dikhuatiri meluaskan polarisasi kaum dan meruncingkan lagi semangat perkauman dalam kalangan masyarakat.

Gesaan berkenaan dibuat Penasihat merangkap Pengerusi DAP Kuala Lumpur, Tan Kok Wai susulan rombakan Kabinet baru-baru ini, yang menyaksikan pembentukan portfolio khusus untuk Wilayah Persekutuan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Cheras itu ketika berucap pada Konvensyen DAP Kuala Lumpur kelmarin, dilaporkan berkata, desakan secara konsisten parti itu supaya memansuhkan Kementerian Wilayah Persekutuan, bertujuan mengelak campur tangan politik dalam pentadbiran di bandar raya berkenaan.

Bagaimanapun, pelbagai pihak termasuk Umno menentang cadangan itu.

Berdasarkan bancian, Ketua Pemuda Umno, Dr Muhammad Akmal Saleh berkata, penduduk di Kuala Lumpur berjumlah 1,588,750 orang, tetapi hanya 45.9 peratus Bumiputera.

Pelaksanaan pilihan raya PBT di Malaysia digantung pada 1960-an dan diganti dengan sistem lantikan ketua dengan jawatan Datuk Bandar atau yang dipertua, termasuk ahli majlis dibuat oleh kerajaan negeri.

Sementara itu, Kui Lun turut menafikan dakwaan cadangan pilihan raya PBT sebagai antara usaha kelompok tertentu daripada DAP untuk mensabotaj kepemimpinan Setiausaha Agungnya Loke Siew Fook.

"Semua kepemimpinan dan ahli DAP menghormati Siew Fook, selain tidak wujud mana-mana pihak yang mahu mensabotaj Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Seremban dan Pengerusi DAP Negeri Sembilan itu.

"Siew Fook juga menyokong cadangan pilihan raya PBT demi kebaikan masyarakat sejagat. Beliau juga menghormati semua kaum dan tradisi di negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2023 @ 5:11 PM