Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Pengurus syarikat agensi pelancongan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api, 15 April lalu.

Bagaimanapun tertuduh, Hafizul Hawari, 38, mohon dibicarakan terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki senjata api jenis pistol tertulis Glock 19 Austria, Made in Turkey, menyalahi Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat minimum enam kali.

Pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa memiliki 33 butir amunisi PMC 380 AUTO tanpa lesen sah mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 8 akta sama. Ia memperuntukkan maksimum tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan ketiga, dia didakwa memiliki satu bungkusan plastik cerah mengandungi mercun bola tanpa permit mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan boleh dihukum di bawah akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, bagi pertuduhan keempat hingga keenam, tertuduh didakwa memiliki tiga kad pengenalan milik tiga individu lain yang menjadi kesalahan mengikut 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, yang boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun atau dengan denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan ketujuh, lelaki itu didakwa memandu Honda Civic warna putih yang menggunakan nombor pendaftaran palsu mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah akta sama.

Kesalahan itu boleh didenda tidak kurang RM5,000 sehingga RM20,000 atau penjara satu tahun dan tidak lebih lima tahun, atau kedua duanya sekali.

Kesemua pertuduhan itu dilakukan di dalam Honda Civic di perkarangan KPJ Perdana Specialist Hospital di sini, jam 2 petang, 15 April lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan Siti Edabayu Subhan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh ditahan reman di Penjara Sungai Buloh dan menetapkan 23 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 10:03 AM
HAFIZUL ketika dibawa dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
HAFIZUL ketika dibawa dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar