ANWAR menghadiahkan kek kepada Tokayev sempena ulang tahun ke-70 kelahiran beliau. FOTO Facebook Rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim
ANWAR menghadiahkan kek kepada Tokayev sempena ulang tahun ke-70 kelahiran beliau. FOTO Facebook Rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim
BERNAMA

Astana: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada akhir lawatan rasmi ke Kazakhstan hari ini sempat menghadiahkan kek kepada Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev sempena ulang tahun ke-70 kelahiran beliau.

Kek itu disampaikan sendiri oleh Anwar kepada Tokayev yang hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Nursultan Nazarbayev di sini sebelum Perdana Menteri berlepas untuk lawatan rasmi tiga hari ke Uzbekistan.

Tokayev menyambut ulang tahun kelahiran beliau hari ini.

"Sebelum menaiki pesawat, saya sempat ucap selamat hari lahir kepada Presiden Tokayev.

"Terima kasih atas layanan yang cukup baik kepada saya dan delegasi Malaysia. Semoga hubungan kedua-dua negara terus diperhebat demi manfaat bersama, insya-Allah," katanya menerusi catatan di laman Facebook.

Anwar tiba di sini untuk lawatan rasmi dua hari bagi memperkukuh hubungan antara Malaysia dan Kazakhstan dalam pelbagai bidang yang terjalin sejak 32 tahun lepas.

Kali terakhir lawatan Perdana Menteri Malaysia ke negara Asia Tengah itu ialah pada 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2024 @ 11:41 PM