MUHAMMAD Rafique. FOTO Nur Aisyah Mazalan
MUHAMMAD Rafique. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Pejabat Peguam Negara perlu menfailkan saman terhadap media asing, Bloomberg dan The Business Times Singapura berhubung penerbitan artikel mengenai kasino di Forest City.

Peguam kepada Ahli Jawatankuasa Penerangan BERSATU, Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, kerajaan juga dicadangkan menarik balik akreditasi atau membatalkan media asing terbabit.

Muhammad Rafique yang juga Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) berkata, kerajaan tidak sepatutnya lepas tangan dalam soal ini sebaliknya mengambil tindakan tegas sebagaimana yang diambil terhadap anak guamnya yang juga rakyat Malaysia.

"Persoalan paling utama kenapa Bloomberg dan Business Times Singapura tak dipersoal (tidak disaman) tapi rakyat Malaysia (Chegu Bard) yang dipanggil untuk didakwa kerana letak kembali apa yang dilaporkan media berkaitan kasino di Forest City.

"Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan Menteri Komunikasi, sila tarik balik hak akreditasi media asing ini daripada melaporkan apa-apa berita terkait Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong selagi mereka tidak menarik balik kenyataan berkaitan kasino Forest City," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di perkarangan Kompleks Mahkamah Johor Bahru, di sini hari ini.

Terdahulu, Chegu Bard yang dituduh di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerbitkan penerbitan menghasut berhubung projek kasino di Forest City di Facebook miliknya, Jumaat lalu.

Chegu Bard, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim, Rasidah Roslee.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Berjaya Corp dan Genting Malaysia menafikan laporan Bloomberg, selain menggesa tindakan diambil terhadap syarikat media terbabit berhubung laporan itu.

Bloomberg melaporkan, Anwar menemui pengasas Berjaya Corp, Vincent Tan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Genting, Tan Sri Lim Kok Thay untuk membincangkan lesen kasino bagi Forest City, Johor.

Berjaya Corp berkata, penerbitan artikel yang berniat jahat itu diburukkan lagi oleh fakta yang tiada agensi berita membuat sebarang percubaan untuk mengesahkan kebenaran dan ketepatan kenyataan itu dengan pihaknya.

Katanya, ini terutamanya apabila kenyataan itu dikaitkan dengan sumber tanpa nama yang diragui kesahihannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2024 @ 3:52 PM