LELAKI warga Bangladesh yang disyaki dalang utama sindiket RTK 2.0 ditahan di Petaling Jaya. FOTO Ihsan JIM
LELAKI warga Bangladesh yang disyaki dalang utama sindiket RTK 2.0 ditahan di Petaling Jaya. FOTO Ihsan JIM
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen (JIM) menumpaskan sindiket Program Rekalibrasi (RTK) 2.0 dengan penahanan seorang lelaki warga Bangladesh dalam Operasi Khas, semalam.

Ketua Pengarah JIM Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi itu dijalankan di sebuah premis di Petaling Jaya, Selangor, kira-kira 10 malam tadi.

"Berdasarkan aduan dan risikan selama dua minggu, kami mengesan dan menahan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 31 tahun yang disyaki dalang utama sindiket berkenaan.

"Ketika ditahan, suspek tidak mempunyai pas yang sah untuk berada di negara ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ruslin berkata, pihaknya merampas wang tunai RM2,000, 188 pasport Bangladesh, lima pasport Indonesia, empat pasport India, empat pasport Pakistan, empat pasport Nepal dan satu pasport Thailand.

Selain itu, katanya, JIM turut merampas pelbagai borang permohonan Program RTK 2.0 dan sebuah komputer riba dalam tangkapan berkenaan.

"Modus operandi sindiket itu menyasarkan individu dari negara sumber seperti Bangladesh, India, Pakistan, Indonesia, Nepal dan Thailand yang mempunyai masalah di Malaysia seperti tiada dokumen pengenalan diri serta visa.

"Suspek akan mendekati mereka yang 'bermasalah' ini dan kemudian menawarkan perkhidmatan disediakan seperti urusan permohonan Program RTK 2.0 di Pejabat Imigresen.

"Sindiket ini akan mendaftarkan syarikat bersama warga Malaysia bagi mengaut keuntungan dengan memanipulasi Progam RTK 2.0," katanya.

Beliau berkata, sindiket itu dipercayai beroperasi selama setahun dan mengenakan bayaran sekitar RM7,000 bagi setiap pendatang asing tanpa izin (Pati).

"Suspek ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 serta Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.

"Seorang wanita tempatan diberikan notis untuk hadir ke pejabat Imigresen bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2024 @ 5:35 PM