Ewon menyaksikan penyerahan replika cek RM300,000 daripada YBR yang disampaikan oleh Pengerusi YBR Datuk Philip Lasimbang, kepada Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN Muhd Firdaus Azharuddin dalam Perasmian Karnival Tekun Madani dan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI), di Dewan Masyarakat Datuk Shahbandar Makang. FOTO ihsan Jabatan Penerangan Sabah
Ewon menyaksikan penyerahan replika cek RM300,000 daripada YBR yang disampaikan oleh Pengerusi YBR Datuk Philip Lasimbang, kepada Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN Muhd Firdaus Azharuddin dalam Perasmian Karnival Tekun Madani dan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI), di Dewan Masyarakat Datuk Shahbandar Makang. FOTO ihsan Jabatan Penerangan Sabah
Rafiqah Dahali


Kuala Penyu: Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyediakan dana berjumlah RM300,000 bagi membiayai yuran usahawan bagi mengikuti kursus di Institut Keusahawanan Negara (Insken) sama ada di Sabah dan Sarawak.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) Datuk Ewon Benedick berkata, dana terbabit bakal memberi manfaat kepada 1,200 usahawan jika mengikuti program keusahawanan anjuran Insken.

"Terdapat usahawan yang mempunyai pengetahuan terhad dalam membangunkan strategi perniagaan berkesan untuk bersaing di pasaran.

"Oleh itu, pendekatan pembangunan pengetahuan dan kemahiran usahawan diperlukan bagi menghasilkan perniagaan berdaya saing kuat dalam pasaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Karnival Tekun Madani dan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) di Dewan Masyarakat Datuk Shahbandar Makang, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kuskop Datuk Seri Suriani Ahmad, Ahli Parlimen Beaufort Datuk Siti Aminah Aching, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Penyu, Datuk Limus Jury dan Pengerusi Tekun Nasional Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.

Dalam pada itu, Ewon berkata, pembiayaan terbabit juga akan memberi peluang dan galakan kepada usahawan di Sabah dan Sarawak untuk menyertai progam latihan keusahawanan.

"Yayasan Bank Rakyat akan memberi tajaan sebanyak RM250 bagi setiap peserta yang menyertai program latihan keusahawanan anjuran Insken di Sabah dan Sarawak.

"Saya berharap ramai usahawan informal di Sabah dan Sarawak akan mengambil peluang untuk menimba ilmu keusahawanan bagi memantapkan perniagaan masing-masing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2024 @ 4:41 PM