INSKEN   menawarkan 21 industri bagi program IBBC.
INSKEN menawarkan 21 industri bagi program IBBC.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Institut Keusahawanan Negara (Insken) terus komited menjadi agensi yang membantu usahawan meningkatkan serta memantapkan skala dan kemahiran perniagaan dengan memperkenalkan lima industri baharu di bawah program Insken Bumiputera Business Coaching (IBBC) tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Insken, Muhd Firdaus Azharuddin berkata, antara industri yang diperkenalkan tahun ini adalah tadika, pusat tuisyen, khidmat asuhan kanak-kanak, penjagaan orang tua serta sukan dan aktiviti lasak.

Katanya, Insken juga menerima permintaan daripada usahawan untuk menganjurkan program ini bagi industri yang masih tiada dalam senarai IBBC.

"Insken berjaya melalui transformasi digital sejak pandemik Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan tahun lalu apabila program latihan keusahawanan Insken diadakan secara dalam talian dan kaedah ini diteruskan sepanjang 2021.

"Lebih menggembirakan, sejak latihan dibuat secara dalam talian kami turut menerima penyertaan dari luar bandar dan 20 peratus daripadanya usahawan dari Sabah dan Sarawak.

"Bagi 2021, Insken menawarkan 21 industri bagi program IBBC dan kami menyasarkan membuat 30 sesi," katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bisnes Metro.

Menurutnya, IBBC diperkenalkan sejak 2017 dengan enam industri saja ditawarkan ketika itu dan setiap tahun ada pertambahan industri baharu kerana sambutan diterima amat menggalakkan.

Muhd Firdaus berkata, sepanjang 2020, 1,558 usahawan menyertai IBBC dan setiap kelas terbuka kepada 30 usahawan untuk dibimbing pakar industri daripada bidang sama.

Beliau berkata, Insken juga menawarkan yuran istimewa iaitu dengan hanya membayar RM200 (sebelum pandemik RM400), usahawan dibimbing selama empat bulan oleh pakar industri.

"Dalam tempoh empat bulan, usahawan diberi empat kali sesi bimbingan persendirian, dua kali latihan khusus teknikal perniagaan, bengkel bersama jurulatih industri dan lawatan penanda aras.

"Bagi mereka yang baru menceburi bidang keusahawanan, kami tawarkan Kursus Asas Keusahawanan (KAK) iaitu program asas selama dua hari dengan yuran RM50.

"Insken juga melaksanakan pelbagai latihan keusahawanan untuk memenuhi keperluan semua usahawan dari kategori permulaan sehingga lanjutan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2021 @ 7:00 AM