AHMAD Zahid (tiga kanan) diiringi Ewon (dua kanan) ketika sesi lawatan selepas perasmian MUN 2023 dan Minggu PMKS Peringkat Kebangsaan. FOTO Bernama
AHMAD Zahid (tiga kanan) diiringi Ewon (dua kanan) ketika sesi lawatan selepas perasmian MUN 2023 dan Minggu PMKS Peringkat Kebangsaan. FOTO Bernama
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) menyasarkan RM70 juta nilai jualan dan pontensi jualan pada Minggu Usahawan Negara (MUN) seluruh negara tahun ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, sasaran itu berdasarkan kejayaan program berkenaan pada tahun lalu yang merekodkan RM69.7 juta potensi jualan di seluruh negara.

Menurutnya, justeru beliau yakin sasaran potensi jualan itu untuk tahun ini akan berjaya dicapai berdasarkan catatan jualan dan potensi yang direkodkan setakat ini sejak program itu bermula pada 2 Jun lalu.

"Jumlah jualan dan potensi jualan yang direkodkan sepanjang Minggu Minggu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tahun ini setakat ini di empat negeri iaitu Pulau Pinang, Pahang, Melaka dan Sarawak sejumlah RM53.57 juta iaitu RM1.96 juta (jualan langsung) dan RM51.61 juta (potensi jualan).

"Selain di Dataran Merdeka, kita ada satu lagi belum dijalankan iaitu di Sabah. Manakala jumlah pempamer yang terbabit di MUN dan Minggu PMKS di lima lokasi (Pulau Pinang, Pahang, Melaka, Sarawak dan Dataran Merdeka) ialah seramai 684 usahawan," katanya dalam ucapannya pada Majlis Perasmian MUN dan Minggu PMKS Peringkat Kebangsaan 2023 di Dataran Merdeka, di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut dihadiri Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussain Aljunid.

Sambutan MUN dan Minggu PMKS dilaksanakan di enam zon bermula 2 Jun hingga 16 Julai ini membabitkan Zon Utara (Pulau Pinang), Zon Selatan (Melaka), Zon Pantai Timur (Pahang), Sabah dan Sarawak.

Ewon berkata, penganjuran program berkenaan platform untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan PMKS selain meningkatkan penyebaran maklumat dan memupuk budaya keusahawanan dalam kalangan masyarakat setempat.

"Tahun ini, aktiviti yang dirancang juga bertambah daripada lebih 75 aktiviti tahun lalu kepada lebih 110 aktiviti di seluruh negara membabitkan pelbagai Kementerian, agensi, Kerajaan Negeri, serta rakan strategik.

"Bertemakan 'Sokong Lokal, Sokong PMKS', MUN dan Minggu PMKS 2023 diharapkan dapat mempromosikan produk dan perkhidmatan PMKS tempatan serta membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada semua pihak," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan menyediakan pelbagai bantuan bersepadu kepada PMKS tempatan meliputi aspek produktiviti dan automasi, aplikasi dalam talian, e-dagang, e-pembayaran dan aplikasi teknologi maklumat.

Katanya, pelbagai program pembangunan kapasiti, khidmat nasihat, bantuan teknikal dan akses kepada kemudahan kewangan disediakan agensi Kuskop yang mana inisiatif itu selari dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030) bagi mencapai matlamat negara keusahawanan unggul menjelang 2030.

"Saya menyeru usahawan merebut peluang pelbagai program pembangunan dan skim bantuan yang ditawarkan kerajaan dan kerajaan akan terus memberikan sokongan dalam memastikan supaya keupayaan PMKS di negara ini dapat ditingkatkan lagi ke tahap yang lebih tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Julai 2023 @ 7:02 PM