FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Masyarakat guru kini diberi autonomi bagi memilih sama ada mahu merekod dan melaporkan tahap penguasaan pentaksiran bilik darjah (PBD) secara luar talian atau menggunakan Sistem Pengurusan Pentaksiran Bersepadu

(SPPB) Kementerian Pendidikan (KPM).

Ia susulan masalah sistem Pengurusan Identiti (IDME) yang dikatakan belum stabil sehingga menyukarkan guru yang menggunakannya.

KPM dalam satu kenyataan berkata, templat baharu untuk pengisian PBD bagi pelaporan ujian akhir sesi akademik tahun 2022/2023 secara luar talian akan disediakan sebagai alternatif.

"KPM amat prihatin akan isu yang dihadapi oleh guru untuk merekod dan melaporkan tahap penguasaan PBD murid bagi sesi akademik tahun 2022/2023 dalam SPPB KPM," katanya dalam kenyataan, sebentar tadi.

Pada masa sama, KPM menyatakan bahawa ia komited mengurangkan beban tugas guru dan memastikan kebajikan

guru terpelihara.

Minggu lalu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, dilaporkan berkata, sistem berkenaan ditutup sepanjang hujung minggu bagi memberi semua pihak bertenang seketika.

Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa langkah akan diambil supaya ia dibaiki dengan segera.

Selain itu, Fadhlina turut memaklumkan tindakan baharu akan diumumkan pada Isnin.

Sebelum ini, KPM didesak Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) untuk menangguhkan penggunaan sistem IDME yang dikatakan belum sesuai untuk kegunaan guru mengisi markah Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA).

Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon dilaporkan berkata, guru mula rasa terbeban dengan sistem IDME kerana capaian trafik yang amat tinggi susulan pelaksanaan PBD secara dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2023 @ 11:22 AM