Anak mangsa memeriksan keadaan ibunya yang tidak sedarkan diri selepas dihempap pokok durian. FOTO Mohd Shafik Zainol Abidin
Anak mangsa memeriksan keadaan ibunya yang tidak sedarkan diri selepas dihempap pokok durian. FOTO Mohd Shafik Zainol Abidin
Mohd Shafik Zainol Abidin


Alor Gajah: Wanita berusia 53 tahun parah di muka dan dada selepas dihempap sebatang pokok durian yang tumbang ketika menunggang motosikal di Kampung Bukit Tambun, Durian Tunggal,Alor Gajah.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari tadi, cucu perempuan mangsa berusia lima tahun yang duduk di bakul motosikal Honda EX5 neneknya bernasib baik kerana terselamat.

Difahamkan ketika kejadian mangsa L Latchumy, bersama cucunya L Bavena Sree, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Perumahan Ladang Ternakan Kilang dari Taman Merak Emas.

Saksi kejadian Harizuddin Arifin, 29, berkata, dia yang dikejutkan bunyi pokok tumbang bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan pemeriksaan sebelum melihat kaki mangsa disebalik dahan dan daun.

"Ketika itu mangsa tidak sedarkan diri, cucunya yang berada di sisinya menangis kerana ketakutan.

"Saya dibantu beberapa lagi orang awam kemudian bersama-sama mengalihkan dahan menghempap wanita itu, anak mangsa yang tiba tidak lama kemudian terus membawa ibunya ke Hospital Melaka menggunakan kereta sendiri," katanya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superimtendan A Asmadi Abd Aziz berkata, wanita dalam keadaan kritikal itu dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2016 @ 7:06 PM