Tangkap layar sebelum kejadian motosikal mangsa merempuh kenderaan polis yang sedang dalam tugas rondaan cegah jenayah membelok ke kanan di lokasi kejadian. Foto tular
Tangkap layar sebelum kejadian motosikal mangsa merempuh kenderaan polis yang sedang dalam tugas rondaan cegah jenayah membelok ke kanan di lokasi kejadian. Foto tular
Meor Riduwan Meor Ahmad


Alor Gajah: Remaja meninggal dunia selepas 'bertarung nyawa' di Hospital Melaka (HM) akibat parah selepas terbabit kemalangan dengan kenderaan polis di Jalan Gangsa Kesang, Durian Tunggal di sini, awal pagi semalam.

Kemalangan ketika umat Islam membuat persiapan menyambut 1 Syawal itu turut tular di media sosial hingga menerima pelbagai reaksi netizen.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, mangsa, Mohammad Khairul Basahri, 18, yang dirawat di Unit Rawatan Rapi hospital itu disahkan meninggal dunia akibat kecederaan dalaman, 12.37 tengah malam tadi.

Menurutnya, siasatan polis mendapati kejadian 2.56 pagi semalam, semasa pacuan empat roda polis terbabit melakukan tugas rondaan cegah lumba haram sebelum dilanggar oleh motosikal ditunggang mangsa.

Menurutnya, terdahulu kenderaan terbabit dipandu anggota dari Balai Polis Durian Tunggal yang ke lokasi kejadian selepas menerima aduan awam berkaitan bunyi bising serta terdapat aktiviti lumba haram di kawasan berkenaan.

"Anggota terbabit menyalakan beacon light serta bunyi siren amaran ketika memandu ke lokasi.

"Menyedari kehadiran polis, semua individu yang berkumpul di tepi jalan berkenaan bertempiaran lari dengan menaiki motosikal masing-masing.

"Namun, sewaktu kenderaan polis cuba membelok ke arah kanan jalan, ia dilanggar oleh motosikal ditunggang mangsa dari arah bertentangan," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, perlanggaran itu menyebabkan penunggang motosikal yang juga pekerja sambilan di sebuah kilang perabot, parah di bahagian kaki dan badan dan dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan, manakala anggota polis berusia 37 tahun tidak cedera.

Menurut Zainol, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2024 @ 10:13 AM