GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Mohd Sabran Md Sani


“ALLAH sudah angkat martabat saya,” kata Syed Abd Hamid Syed Zainal yang dilantik Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mewakili penjaja sejak Julai lalu.

Kehidupannya bertukar 360 darjah daripada penjaja tepi jalan kepada Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) sejak pelantikan itu.

Ketika berucap pada sesi penggulungan dasar Mesyuarat Penuh MBJB di Johor Bahru, hari ini, Syed Abd Hamid berkata, beliau tekad pikul amanah dan membela nasib golongan penjaja bersandarkan pengalamannya sebelum ini.

Beliau turut menitip pesanan kepada Datuk Bandar Johor Bahru Datuk Adib Azhari Daud yang dilantik berkuat kuasa 17 November lalu untuk memberi perhatian terhadap isu penjaja tempatan yang dihimpit penjaja warga asing.

SYED Abd Hamid Syed Zainal. FOTO Mohd Sabran Md Sani.
SYED Abd Hamid Syed Zainal. FOTO Mohd Sabran Md Sani.

“Saya cadangkan buat tindakan secara berperingkat, batalkan lesen sewa atas sewa, hapuskan peniaga asing, robohkan gerai yang menjadi lokasi kediaman dan robohkan kes rumah kediaman menjadi premis perniagaan.

“Maka selepas ini barulah tindakan boleh diambil, bahkan penjaja dan peniaga berharap tindakan telus dan adil dapat dilaksanakan,” katanya.

Menurutnya, tanpa penjaja tempatan, negeri itu akan dipenuhi ‘penjajah’ kerana warga asing akan memonopoli dan bermaharajalela.

“Saya katakan begini berdasarkan pengalaman saya sendiri ketika berniaga buah-buahan dan air cincau pada Ramadan di pasar, bersama bapa pada 1998.

“Barang niaga kami dirampas penguat kuasa sehinggakan saya tidak sanggup pulang ke rumah kerana tiada duit niaga yang hendak diberikan kepada adik-beradik untuk membeli baju raya.

“Dengan berbaki dua hari Ramadan, ketika itu saya terpaksa tidur di bawah bangunan MBJB dan mandi air pancut di sebelah bangunan MBJB,” katanya.

Syed Abd Hamid berkata, ketika itu dia merasakan dirinya sedang diuji Allah dan hari ini, Allah mengangkat martabat dirinya tanpa disangka, selain berstatus Ahli Majlis.

“Tiada ertinya penjawatan ini sekiranya saya tidak mampu mempertahankan nasib penjaja dan peniaga. Apalah gunanya pembangunan yang indah tetapi tidak boleh dimanfaatkan oleh semua orang,” katanya.

Beliau mencadangkan supaya peniaga yang ingkar diberikan notis dan saman, bukannya disita, selain membatalkan sistem sitaan itu.

“Ia seolah-olah menyekat periuk nasi penjaja dan peniaga, ibarat pendapatan pada 2020 dapat RM20, habis juga RM20,” katanya.

Katanya, beliau juga berharap tindakan memburu penjaja asing perlu diteruskan dengan lebih efisien terutama di Pasar Borong Pandan di Johor Bahru.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Disember 2019 @ 4:23 PM