BERI manfaat kepada keluarga tinggal bersama anak mereka yang menjalani rawatan penyakit.
BERI manfaat kepada keluarga tinggal bersama anak mereka yang menjalani rawatan penyakit.
Zaitie Satibi


KEWUJUDAN Rumah Ronald McDonald (RMH) di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Kuala Lumpur yang banyak memberi manfaat kepada ribuan keluarga untuk tinggal bersama anak mereka yang menjalani rawatan penyakit kronik sejak 20 tahun lalu mendorong RMH kedua dibuka di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) akhir Jun lalu.

Ini secara tidak langsung membantu meringankan beban keluarga pesakit kanak-kanak yang berdepan masalah tiada tempat tinggal sementara berhampiran sepanjang menjaga anak yang sedang menjalani rawatan di HUSM. Berbekalkan kos pembinaan bernilai RM4 juta, RMH ini dilengkapi 18 bilik tidur, ruang makan, ruang istirahat, dapur, bilik dobi dan bilik permainan.

PESAKIT kanak-kanak selesa ditemani keluarga di penginapan sementara.
PESAKIT kanak-kanak selesa ditemani keluarga di penginapan sementara.

Selain itu, rumah kedua ini juga lebih istimewa dengan adanya Bilik Sensori Ronald McDonald yang menyediakan peralatan multi deria khas yang disumbangkan kepada HUSM untuk membantu perkembangan kanak-kanak istimewa.

Presiden RMHC dan Pengarah Urusan McDonald's Malaysia, Azmir Jaafar berkata, pembinaan RMH kedua ini kerana terdapat keperluan yang amat tinggi di HUSM yang juga hospital rujukan yang menerima lebih daripada 20,000 pesakit setahun.

“Kemudahan seperti ini penting kerana ia bukan sahaja menyediakan penginapan untuk meringankan beban keluarga pesakit, malah ia juga sedikit sebanyak memberi keluarga ini kekuatan emosi dengan sokongan daripada keluarga lain yang bersama-sama menemani anak mereka sakit.

“RMH ini direalisasikan hasil sumbangan RMHC Malaysia, McDonald's Malaysia, rakan niaga dan pelanggan kami yang menyumbang melalui tabung RMHC yang ditempatkan di 275 restoran McDonald's di seluruh negara,” katanya.

KAKITANGAN RMH membersihkan ruangan rumah kebajikan yang baharu dibuka.
KAKITANGAN RMH membersihkan ruangan rumah kebajikan yang baharu dibuka.

Beliau berkata demikian pada acara gotong-royong membersihkan persekitaran RMH berkenaan anjuran Persatuan Kebajikan Rumah Ronald McDonald (RMHC) Malaysia bagi menyambut keluarga pesakit pediatrik yang mendapat rawatan di HUSM dan hospital sekitarnya sempena pembukaan penginapan sementara itu, baru-baru ini.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Prof Datuk Dr Asma Ismail berkata, dengan adanya RMH di kampus HUSM, ahli keluarga akan sentiasa dapat bersama anak-anak mereka sepanjang tempoh mereka menerima rawatan di hospital.

“Ini adalah penting kerana secara tidak langsung, ia akan menggalakkan pemulihan kesihatan pesakit kanak-kanak dengan kadar yang pantas berikutan mereka menerima sokongan fizikal dan emosi dari ahli keluarga masing-masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2019 @ 9:37 AM