PESERTA bersama maskot Leo the Lion sebelum memulakan larian santai.
PESERTA bersama maskot Leo the Lion sebelum memulakan larian santai.
Norlaila Hamima Jamaluddin

Dalam banyak-banyak larian, acara yang satu ini memang istimewa. Mana tidaknya, larian ini diadakan untuk kanak-kanak bagi memberi manfaat kepada rakan sebaya mereka. Walaupun acara larian ini disertai ramai pelari dewasa, peserta cilik tidak mahu melepaskan peluang untuk membantu kanak-kanak lain.

Acara tahunan RBC Race for the Kids Kuala Lumpur di Taman Botani Perdana adalah acara larian keluarga dan menarik minat lebih 2,000 peserta. Meskipun perlu bangun awal pada hari cuti, namun semua peserta terutama kanak-kanak tampak teruja untuk menjayakan larian santai sejauh lima kilometer sebagai tanda sokongan mereka kepada Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malaysia.

Lebih menarik, ramai ibu bapa yang berlari bersama si kecil dengan menolak kerusi sorong, satu pemandangan yang memberangsangkan dan menandakan peningkatan kesedaran orang ramai dalam penjagaan kesihatan serta sanggup berkorban sedikit demi membantu golongan memerlukan.

LEO the Lion memberi semangat kepada peserta larian.
LEO the Lion memberi semangat kepada peserta larian.

Dalam acara ini, sasaran untuk menggandakan pengumpulan dana tercapai. Sebanyak RM200,000 dikutip untuk membiayai pembinaan dua Bilik Sensori Ronald McDonald bagi kanak-kanak dengan masalah ketidakupayaan pembelajaran di negara ini.

Lokasi pertama ialah di Sekolah Semangat Maju Taiping (SSMT) yang ditubuhkan pada 1991 dengan hanya 17 pelajar. Kini SSMT memberi perhatian dan mendidik lebih 100 remaja kurang upaya dalam pembelajaran, autisme, sindrom Down dan palsi serebrum.

Bilik Sensori baru ini akan membantu kanak-kanak kurang upaya untuk mengembangkan kemahiran kognitif dan membina keyakinan diri melalui rangsangan deria utama iaitu penglihatan, bunyi, sentuhan dan bau.

Menurut Ketua Perkhidmatan Pelabur & Perbendaharaan Royal Bank of Canada (RBC) Malaysia Andy Allen, pihaknya sangat gembira dengan sambutan pada acara tahun ini dan berbangga apabila warga kerjanya, rakan, keluarga dan masyarakat setempat dapat berkumpul bersama untuk memberi sokongan bagi menjayakan usaha murni berkenaan.

“RBaC mempunyai kehadiran yang kukuh di Malaysia dan kami begitu bersemangat untuk membawa perubahan kepada pelanggan dan masyarakat setempat. Saya gembira melihat acara istimewa ini terus berkembang sebagai sebahagian daripada komitmen global kami untuk membantu ke arah mewujudkan masyarakat sejahtera dan maju.

Naib Presiden RMHC Malaysia Victor Sim berkata, dia berbesar hati dapat bekerjasama dengan RBC Race for the Kids Kuala Lumpur bagi tahun kedua berturut-turut.

SEBAHAGIAN peserta yang berlari sambil menolak kerusi sorong si kecil.
SEBAHAGIAN peserta yang berlari sambil menolak kerusi sorong si kecil.

“Sememangnya ia sesuatu yang amat menyentuh perasaan apabila melihat begitu ramai orang hadir pada acara ini dan menyokong usaha murni bagi membantu kanak-kanak yang memerlukan,” katanya.

Acara sulung RBC Race for the Kids Kuala Lumpur yang diadakan tahun lalu berjaya mengumpul lebih RM200,000 dan dana berkenaan digunakan oleh Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malaysia untuk membina dua Bilik Sensori di Lembah Klang; yang pertama di Persatuan Untuk Orang Kurang Upaya Akal Selangor dan Wilayah Persekutuan (SAMH) dan yang kedua di Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Cacat Taman Megah (PPKKTCM).

Acara larian berkenaan adalah sebahagian daripada ‘Ikrar Kanak-Kanak’ oleh RBC yang merupakan komitmen bernilai USD100 juta selama lima tahun untuk menambah baik kehidupan sejuta orang kanak-kanak dan remaja di seluruh dunia.

Pada tahun lalu, perlumbaan ini diadakan di lebih 15 lokasi termasuk London, Vancouver, Minneapolis, Toronto, New York, Chicago, Sydney, Luxembourg, Hong Kong dan Kuala Lumpur, yang menarik minat lebih 124,000 peserta seluruh dunia. Sejak dilancarkan pada 2008 di New York, RBC Race for the Kids berjaya mengumpul lebih USD27 juta untuk tujuan amal mensasarkan golongan kanak-kanak di seluruh dunia.

RBC menyokong pelbagai program yang memberi tumpuan kepada keperluan kanak-kanak secara menyeluruh yang merangkumi minda, fizikal dan rohani, supaya mereka berpeluang untuk mencapai potensi masing-masing suatu hari nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2017 @ 12:17 PM