SEBAHAGIAN waris melalui kawasan berpagar untuk pergi ke kubur ahli keluarga terkesan dengan pengalihan kubur ditutup pagar bagi projek laluan ECRL di Tanah Perkuburan Selat Klang. FOTO Hairul Anuar Rahim
SEBAHAGIAN waris melalui kawasan berpagar untuk pergi ke kubur ahli keluarga terkesan dengan pengalihan kubur ditutup pagar bagi projek laluan ECRL di Tanah Perkuburan Selat Klang. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Kapar Dr Halimah Ali memohon Kerajaan Negeri Selangor menangguhkan dahulu kerja peralihan kubur di Klang yang terbabit dengan pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Halimah berkata, kerja pemindahan semula 90 pusara di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang yang dijangka bermula esok perlu ditangguhkan serta merta bagi memberi ruang semua pihak terbabit berbincang mencapai kata sepakat.

Katanya, beliau juga sedia menjadi orang tengah untuk membantu menyelesaikan isu terbabit.

"Selaku wakil rakyat di kawasan ini dan selepas mendengar keluhan serta rintihan mereka yang terjejas (waris) selain penjelasan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) sendiri, demi mengekalkan keharmonian dan mengelakkan sebarang ketegangan, semua pihak perlu duduk kembali di meja perundingan dan kerja peralihan yang mahu dimulakan esok (1 Mei 2024) wajarlah ditangguhkan terlebih dahulu.

"Saya menyedari projek ECRL ini cukup baik dan berguna kepada rakyat dan negeri, saya secara peribadi menyokongnya.

"Namun, apabila kepentingan dan kebajikan rakyat terjejas akibat pelaksanaan projek ini, perundingan secara holistik sewajarnya diadakan supaya semua pihak termasuk rakyat Selangor yang terjejas akan berpuas hati," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, bagi umat Islam, proses peralihan tanah perkuburan, satu isu sangat sensitif dan boleh mencetuskan ketegangan jika tidak ditangani secara matang dan bijaksana.

"Saya sedar ia diharuskan mengikut syarak kerana menjaga kepentingan umum, namun biarlah projek kepentingan umum ini diteliti sebaik mungkin dengan keputusan peralihannya menjadi keutamaan terakhir jika sudah benar-benar buntu dan tiada alternatif.

"Selain itu, semua waris perlulah diberi penerangan sewajarnya sebelum kubur keluarga mereka dialih. Ini perikemanusiaan, sewajibnya dipraktik pihak kerajaan," katanya.

Justeru, beliau menyeru Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari segera campur tangan dengan mengarahkan penangguhan kerja peralihan kubur terbabit.

"Saya mengharapkan sangat Menteri Besar Selangor memberi perhatian dan keutamaan kepada kes sensitif ini dan berani membuat keputusan untuk menangguhkan pelaksanaannya demi mendengar suara rakyat.

  "Saya akan mengutus surat kepada Menteri Besar Selangor selain Datuk Orang Kaya Maha Bijaya Klang serta Setiausaha Sulit Sultan Selangor, menyertakan kenyataan media saya ini, supaya suara rakyat di kawasan saya segera didengar dan mendapat perhatian sewajarnya.

"Biarlah kita berunding secara sivil dengan mengambil kira pandangan semua pihak terutama waris yang berkenaan dan mencapai satu keputusan yang boleh diterima semua dengan hati lapang dan tenang," katanya.

Semalam, media melaporkan, sebahagian waris kepada 90 pusara mendakwa tidak dimaklumkan mengenai pemindahan tapak tanah perkuburan itu bagi memberi laluan kepada projek ECRL.

Mereka juga kecewa apabila tidak dipanggil dalam sesi libat urus dan perbincangan bersama keluarga waris dan pihak berwajib bagi memaklumkan penggalian dan pemindahan semula kubur berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2024 @ 3:26 PM