KAWASAN Tanah Perkuburan Islam Selat Klang. FOTO Aziah Azmee
KAWASAN Tanah Perkuburan Islam Selat Klang. FOTO Aziah Azmee
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan majoriti waris dan ahli keluarga yang terbabit dalam penggalian dan pemindahan kubur di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang sudah bersetuju untuk memberikan laluan bagi pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Amirudin berkata, perbincangan akan diteruskan antara kelompok waris lain bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), pihak berkuasa tempatan dan ECRL.

Katanya, waris juga seharusnya menjalankan perbincangan bersama komuniti dan jabatan berkaitan selepas kerajaan negeri memberi ruang tambahan seminggu sebelum kerja menggali dan memindah kubur dilakukan.

"Tiada persoalan hukum, tiada persoalan apa sebab di mana-mana tempat pun berlaku dan ia memberikan maslahat yang lebih penting kepada masyarakat terutama dalam hal pembangunan negara.

"Tetapi kita akan meneruskan perbincangan dengan pihak terbabit kerana majoritinya sudah bersetuju... Alhamdulillah.

"Yang belum bersetuju kita beri ruang lagi untuk berbincang," katanya pada sidang akhbar pasca Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri di Wisma Dewan Undangan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pendirian waris dan ahli keluarga kekal membantah penggalian dan pemindahan kubur tersebut bagi memberikan laluan kepada pembinaan ECRL.

Kerja-kerja menggali dan memindah kubur yang dijadualkan kelmarin ditangguh selama seminggu bagi memberikan ruang bagi proses pemakluman dan pendengaran kepada waris.

Amirudin menegaskan sebarang persoalan perlu dikemukakan kepada komuniti yang telah diwujudkan berhubung perkara itu.

"Ada jabatan (khas) yang akan membuat penelitian terhadap persoalan itu dan kita cuba cuba memberikan penerangan dan penjelasan," katanya.

Sebelum ini media melaporkan 90 waris mendakwa tapak kubur ahli keluarga mereka akan digali dan hanya diberikan batu nisan sahaja sepanjang pembinaan ECRL di Tanah Perkuburan Selat Klang, Klang.


Laluan ECRL: Waris bantah pindah kubur
90 kubur bakal dialihkan, sebahagian waris dakwa tidak dimaklumkan
90 kubur perlu 'dialih'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2024 @ 12:27 PM