SEBAHAGIAN waris menziarahi kubur ahli keluarga di Tanah Perkuburan Selat Klang. FOTO Hairul Anuar Rahim
SEBAHAGIAN waris menziarahi kubur ahli keluarga di Tanah Perkuburan Selat Klang. FOTO Hairul Anuar Rahim
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Kerja pemindahan 90 kubur di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang di sini, bagi memberi laluan kepada projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka esok, ditangguhkan seminggu lagi.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah ini bagi memberikan ruang bagi proses pemakluman dan pendengaran kepada 45 lagi waris kubur terbabit.

"Tadi, kita ada berbincang (perkara itu), kita delay (tangguh) lagi seminggu dalam berikan ruang kepada 45 keluarga yang belum datang dalam proses pemakluman sebelum ini," katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan 90 waris mendakwa tapak kubur ahli keluarga mereka akan digali dan hanya diberikan batu nisan sahaja sepanjang pembinaan projek ECRL di Tanah Perkuburan Selat Klang, di sini hari ini.

Amirudin berkata, ECRL memerlukan satu laluan yang lurus dan sedikit pengubahsuaian aliran kecil sahaja akan menyebabkan perubahan yang besar.

"Seperti mana sedia maklum, ECRL ini memerlukan satu laluan yang lurus dan tidak bengkang bengkok. Sebab itu kita seboleh mungkin mengekalkan (laluan sedia ada yang dirancang)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2024 @ 4:50 PM