Ketua Polis Kuala Lumpur , Datuk Mazlan Lazim (tiga dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas dalam dua serbuan di Jalan Kuchai Maju dan Sunway Perdana disini. FOTO NSTP
Ketua Polis Kuala Lumpur , Datuk Mazlan Lazim (tiga dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas dalam dua serbuan di Jalan Kuchai Maju dan Sunway Perdana disini. FOTO NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor dan Nur Sufiah Abd Halim


POLIS menumpaskan sindiket pengedaran dadah dalam serbuk minuman bernilai RM4 juta selepas menahan tiga individu dalam dua serbuan berasingan di Jalan Kuchai Maju dan Sunway Perdana, 15 dan 16 Januari lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim berkata, dalam serbuan pertama, pasangan kekasih berusia 29 dan 30 tahun ditahan dalam kereta di Jalan Kuchai Maju pada 9.20 malam.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas kenderaan suspek menemui satu beg plastik mengandungi 10 paket serbuk minuman buah-buahan dipercayai dadah jenis ekstasi bernilai RM3,000.

"Suspek kemudian membawa pasukan polis ke rumah di Taman Salak Selatan pada hari sama.

"Pemeriksaan di rumah terbabit menemui 308 paket plastik dipercayai dadah serbuk ekstasi, tujuh bekas plastik mengandungi serbuk ekstasi, 800 biji pil eramin 5, satu paket plastik mengandungi dadah jenis ganja dan 20 paket plastik dadah ketamin," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Mazlan berkata, jumlah rampasan di rumah berkenaan dianggarkan bernilai RM175,350.

"Siasatan lanjut ke atas suspek kemudian membawa pasukan polis kepada dalang utama kumpulan berkenaan dikenali sebagai CK.

"Sepasukan polis kemudian melakukan serbuan di kondominium di Sunway Perdana, Petaling Jaya dan menahan dalang utama berusia 31 tahun.

"Pemeriksaan di rumah terbabit menemui serbuk ekstasi seberat 51.6 kilogram (kg), 14 gram dadah jenis ganja, 473 gram dadah ketamin dan 223 gran pil eramin 5," katanya.

Katanya, nilai rampasan semua dadah berkenaan bernilai RM 4 juta dan polis percaya dadah berkenaan untuk diedarkan di pusat hiburan di Lembah Klang.

"Semua suspek ditahan reman sehingga 21 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut seksyen 39 B Akta dadah berbahaya 1952.

"Polis Kuala Lumpur akan terus melakukan operasi bagi membanteras sindiket dadah yang aktif di ibu kota," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2018 @ 4:46 PM