Mohd Sabran Md Sani


PASUKAN polis yang melakukan serbuan di sebuah rumah selepas disyaki menjadi pusat pengedaran dadah di Taman Pelangi Indah di Johor Bahru, awal pagi tadi terkejut apabila menemui empat kanak-kanak di premis menempatkan pelbagai jenis dadah serta senjata api itu.

Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, empat kanak-kanak itu ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor pada 1 pagi bersama enam ahli sindiket dadah termasuk pasangan suami isteri yang aktif mengedar dadah sejak tahun lalu.

Menurutnya, pihaknya kini sedang menyiasat mengenai pembabitan dan peranan kanak-kanak berkenaan dalam aktiviti pengedaran dadah kerana ditemui bersama pelbagai barang rampasan termasuk dadah dan senjata api.

“Dua kanak-kanak lelaki berusia sembilan hingga 12 tahun dan dua kanak-kanak perempuan berusia enam hingga 10 tahun ditahan bersama enam individu lain iaitu tiga lelaki dan tiga wanita tempatan,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Menurutnya, kesemua kanak-kanak yang ditahan itu dipercayai masih bersekolah dan dibenarkan diikat jamin dengan jaminan polis.

Katanya, pihaknya merampas sebanyak 504 gram ganja, 345 gram serbuk putih disyaki dadah, 84 gram heroin, 10 gram syabu dan 48 biji pil ecstasy dalam operasi itu, selain sepucuk pistol jenis Browning bersama 60 butir peluru hidup.

Mohd Kamarudin (tengah) menunjukan pistol dan pelbagai barangan rampasan hasil serbuan di sebuah rumah di Taman Pelangi Indah. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Mohd Kamarudin (tengah) menunjukan pistol dan pelbagai barangan rampasan hasil serbuan di sebuah rumah di Taman Pelangi Indah. FOTO Mohd Azren Jamaludin

“Turut dirampas, lapan kenderaan serta wang tunai bernilai RM50,000 dengan nilai harta dan dadah yang disita berjumlah RM636,208,” katanya.

Menurutnya, tiga daripada enam suspek yang ditahan itu didapati positif dadah, selain memiliki lima rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Katanya, siasatan juga mendapati rumah itu dijadikan lokasi penyimpanan sementara sebelum ia diedarkan kepada penagih dadah dan bekalan itu dipercayai mampu menampung keperluan 534 orang penagih sehari.

“Kami kini berusaha mengesan jaringan sindiket terbabit dan akan menghantar pistol itu untuk menjalani ujian di makmal forensik.

“Ujian itu bagi memastikan pistol berkenaan pernah digunakan untuk kes jenayah lain atau tidak dan kami cuba mengesan sepucuk lagi pistol kerana menemui dua jenis peluru berbeza.

“Pada masa sama, kita tidak menolak semua suspek yang tiada pekerjaan itu menyara hidup dengan hasil pengedaran dadah,” katanya.

Menurutnya, kesemua suspek berkenaan direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.

Sementara itu, katanya, JSJN Johor menahan seramai 4,044 individu atas pelbagai kesalahan dadah dengan rampasan sebanyak 131.44 kilogram dadah bernilai RM2.88 juta sejak awal tahun ini sehingga semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 4:30 PM