Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Samsuri Mokhtar  semasa hadir pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di Wisma Darul Iman. FOTO GHAZALI KORI
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Samsuri Mokhtar semasa hadir pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di Wisma Darul Iman. FOTO GHAZALI KORI
Oleh Zatul Iffah Zolkiply dan Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Kerajaan Negeri Terengganu akan menggunakan segala ruang dan pendekatan bagi mengembalikan semula baki wang royalti atau wang ehsan yang sepatutnya diberikan kepada rakyat Terengganu.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya akan sentiasa mengadakan pertemuan dan perbincangan dalam menyelesaikan isu berkenaan.

"Kita optimis (dan) kita cuba dulu menggunakan apa juga ruang yang ada dan daripada situ, kita akan tengok bagaimana respon daripada Kerajaan Pusat.

"Insya-Allah, kita akan tangani secara bersama oleh seluruh anggota pentadbiran," katanya ditemui selepas Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (Dun) ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, tiada perbincangan terbaharu diadakan selepas Kerajaan Pusat menyalurkan wang ehsan RM172.3 juta kepada Kerajaan Negeri Terengganu baru-baru ini, bagi membiayai komitmen emolumen kerajaan negeri.

Kata beliau, kedatangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 Peringkat Negeri Terengganu yang dijadualkan pada 9 Mei ini akan digunakan untuk berbincang isu berkenaan.

"Insya-Allah, Perdana Menteri akan datang ke Terengganu untuk berhari raya pada 9 Mei ini dan di kesempatan itu, Insya-Allah, kita akan berbincang perkara ini," katanya.

Untuk rekod, sehingga Oktober tahun lalu, Kerajaan Persekutuan sepatutnya memulangkan wang royalti yang menjadi hak rakyat Terengganu berjumlah RM1.5 bilion.

Bagaimanapun, kerajaan negeri hanya menerima RM510 juta dan ia adalah bayaran paling rendah diterima berbanding sejak 2018 hingga 2022.

Pada 8 April lalu, kerajaan menyalurkan wang ehsan RM172.3 juta kepada Terengganu dan RM58.6 juta kepada Kelantan.

Ia bertujuan membiayai komitmen emolumen kerajaan negeri selain bayaran RM103.1 juta untuk komitmen Kerajaan Negeri Terengganu kepada kontraktornya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2024 @ 3:07 PM