Siti Rohana Idris


Pasir Mas: Pemberian Wang Ihsan RM58.6 juta minggu lalu membuktikan hubungan baik Kerajaan Persekutuan dengan negeri Kelantan sangat baik sejak sekian lama.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nasuruddin Daud berkata, Kerajaan Persekutuan sentiasa membantu Kelantan dalam segala hal bukan soal Wang Ihsan.

"Hubungan kita (kerajaan negeri) dengan persekutuan baik dari dulu lagi, semua perkara boleh dibincang dan Perdana Menteri beri jaminan bahawa beliau akan turut beri perhatian kepada Kelantan," katanya selepas hadir pada Majlis Rumah Terbukanya di perkarangan Maahad Tahfiz Daril Ulum, di sini, hari ini.

Kelmarin, Kerajaan Persekutuan memaklumkan sudah menyalurkan Wang Ihsan berjumlah RM172.3 juta kepada kerajaan Terengganu dan RM58.6 juta kepada Kelantan, minggu lalu bagi membiayai komitmen emolumen kerajaan negeri.

Sambil mengucapkan terima kasih atas penyaluran Wang Ihsan itu, Mohd Nasuruddin berkata, bantuan itu dapat meringankan tanggungan kerajaan negeri untuk pembayaran gaji kakitangan awam di negeri ini.

"Biasanya Wang Ihsan diberi dua kali iaitu pada April dan hujung tahun. Jadi untuk April kita sudah terima jadi ucapkan terima kasih.

"Wang Ihsan ini biasanya Kerajaan Persekutuan beri untuk kita meringankan tanggungan bagi pembayaran gaji kerana kita bayar gaji sebanyak RM33 juta sebulan.

"Walaupun Kerajaan Persekutuan bukan beri sepenuhnya cuma ada bahagian dari Wang Ihsan untuk membantu bayar gaji dan Alhamdulillah, setakat ini kita tidak pernah tertunggak lagi tapi bila ada Wang Ihsan maka ringanlah sikit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2024 @ 1:47 PM