AHMAD SAMSURI
AHMAD SAMSURI
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berterima kasih atas keprihatinan Kerajaan Persekutuan yang akan menaik taraf jambatan merentasi Sungai Marang.

Berita baik itu diumumkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021 hari ini.

Ahmad Samsuri turut menyeru rakyat Terengganu untuk mengambil manfaat daripada pelbagai inisiatif Belanjawan 2021 terutamanya dalam menjamin kesejahteraan hidup, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi rakyat.

"Insya-Allah, pada 23 November nanti, saya akan membentangkan Belanjawan 2021 Terengganu Darul Iman yang menggariskan lima teras utama," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, belanjawan ini adalah hasil daripada pendekatan inklusif dan strategik oleh kerajaan melalui sesi libat urus dengan pelbagai pihak.

"Secara ringkasnya, kita dapat melihat usaha kerajaan memelihara kebajikan rakyat melalui pengawalan dan pencegahan Covid-19, pengukuhan aliran tunai isi rumah, jaminan peluang pekerjaan serta menjana semula sektor ekonomi dan perniagaan yang terkesan teruk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2020 @ 10:18 PM