Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika sidang media selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Kumpulan PKNK di sini, hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika sidang media selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Kumpulan PKNK di sini, hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berharap pimpinan kerajaan Perpaduan tidak mengamalkan politik sempit dalam proses pengagihan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Menurutnya, kerajaan perlu bersifat adil dan negarawan dengan mengenepikan hubungan parti dengan parti.

"Saya harap Ahli Parlimen dapat berbincang sebaiknya, yang umum itu (ada syarat) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, jadi bincanglah dengan sikap tadi lah (negarawan) bukan hubungan parti dengan parti.

"Kita sudah selesai pilihan raya, kita sudah ada posisi peranan masing-masing di negeri dan Persekutuan, di atas platform itu, jangan di atas kapasiti politik sempit," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) di sini, hari ini.

Terdahulu media melaporkan Fadillah berkata Kerajaan Perpaduan masih memperhalusi inti pati draf memorandum persefahaman (MoU) untuk diserahkan kepada pakatan pembangkang bagi menyelesaikan isu pengagihan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Katanya, penyediaan draf itu perlu melalui beberapa peringkat sebelum keputusan muktamad dibuat.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata pihaknya sangat berharap tiada syarat yang ditetapkan Kerajaan Perpaduan untuk mengagihkan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Katanya, ini kerana semua Ahli Parlimen diberi undi kepercayaan oleh rakyat (pengundi) dan mereka patut diberi layanan sama rata dan saksama.

"Jangan asyik berkira untuk parti sebelah sana saja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 5:52 PM