FADILLAH, gambar fail. FOTO NSTP
FADILLAH, gambar fail. FOTO NSTP
Mohd Roji Kawi


Kuching: Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan pada dasarnya bersetuju untuk mempertimbangkan bagi menyalurkan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat yang diadakan di Sri Perdana, Putrajaya, petang semalam.

Sehubungan itu katanya, satu draf Memorandum Persefahaman (MoU) akan dirangka terlebih dahulu.

Menurutnya, draf itu kemudian akan dipanjangkan kepada pembangkang sebagai langkah untuk perundingan seterusnya.

"Perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat lebih satu jam yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta dihadiri pemimpin tertinggi parti komponen Kerajaan Perpaduan," katanya Ketua Whip Kerajaan Perpaduan dalam kenyataan, hari ini.

Pada 19 Mac lalu, tiga pemimpin Perikatan Nasional (PN) iaitu Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin, Ketua Whip PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berjumpa dengan Fadillah di Parlimen bagi membincangkan isu berkenaan.

Susulan itu, pada 21 Mac, Hamzah berkata, pembangkang sudah menerima draf dokumen yang memperincikan perkara berkaitan rundingan peruntukan kepada ahli Parlimennya.

Hamzah yang mengesahkan perkara itu pada persidangan Dewan Rakyat berkata, pihaknya meneliti deraf itu serta syarat yang ada dalamnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 12:29 PM