SEORANG penunggang motosikal berkuasa tinggi maut dalam kemalangan tiga kenderaan di Link Kedua. FOTO Tular
SEORANG penunggang motosikal berkuasa tinggi maut dalam kemalangan tiga kenderaan di Link Kedua. FOTO Tular
Omar Ahmad

Iskandar Puteri: Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut apabila jenteranya merempuh kereta yang berhenti kerana kesesakan lalu lintas di Kilometer 0.5 Lebuhraya Link Kedua arah selatan, di sini, hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintendan Ibrahim Mat Som berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian membabitkan tiga kenderaan pada 8.50 pagi.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kereta Honda Civic yang bergerak perlahan di lorong kanan berhenti kerana jalan sesak lalu dirempuh dari belakang oleh Vespa Piaggio.

"Selang beberapa minit kemudian, datang motosikal Kawasaki Ninja EX650 ditunggang lelaki berusia 28 tahun lalu merempuh bahagian belakang kereta yang sama.

"Kemalangan menyebabkan penunggang motosikal berkuasa tinggi terbabit tercampak ke jalan raya dan maut di lokasi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 4:41 PM