KEADAAN motosikal selepas merempuh kereta berhenti di lorong kecemasan. FOTO Ihsan Polis
KEADAAN motosikal selepas merempuh kereta berhenti di lorong kecemasan. FOTO Ihsan Polis
Omar Ahmad.


Iskandar Puteri: Seorang pembonceng motosikal maut selepas kenderaan dinaikinya itu merempuh kereta yang berhenti di lorong kecemasan di jalan Lebuhraya Nusajaya di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam kejadian 2.45 petang itu, lelaki berusia 30 tahun disahkan maut di lokasi kejadian.

Katanya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati, penunggang dan pembonceng motosikal bergerak dari arah Tanjung Kupang menghala ke Gelang Patah.

"Tiba di tempat kejadian motosikal terbabit merempuh bahagian belakang kereta yang berhenti di lorong kecemasan, yang mana pemandunya sedang menjawab panggilan telefon.

"Kemalangan itu menyebabkan penunggang motosikal (lelaki) berusia 20-an patah tangan kanan dan cedera pada bahagian badan, manakala pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dzulkhairi berkata, bagaimanapun kesemua penumpang kereta tiada mengalami sebarang kecederaan.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim Kulai untuk dibedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2022 @ 11:34 PM