DUA individu maut apabila kenderaan dinaiki terbabas berhampiran Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri. FOTO Ihsan JBPM
DUA individu maut apabila kenderaan dinaiki terbabas berhampiran Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri. FOTO Ihsan JBPM
Mary Victoria Dass

Iskandar Puteri: Dua individu termasuk remaja perempuan berusia 15 tahun maut selepas kereta dinaiki hilang kawalan sebelum terbabas berhampiran Stadium Sultan Ibrahim di sini, tengah malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri, Mohd Khairi Zainuddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian berkenaan pada 12.23 tengah malam.

Menurutnya, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri dengan kekuatan lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, operasi diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II, Ishak Noh.

"Setiba di lokasi kejadian, anggota bomba mendapati kedua-dua mangsa tercampak keluar dari kereta.

"Seorang mangsa perempuan dipercayai penumpang ditemukan bersebelahan kenderaan, manakala mangsa lelaki iaitu pemandu kenderaan pula didapati tersepit di bawah kereta itu berkenaan," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari laluan arah Gelang Patah ke Skudai.

"Kereta berkenaan dipercayai berpusing ketika kejadian dan memasuki laluan bertentangan," katanya.

Katanya, kemalangan itu tidak membabitkan kenderaan lain.

"Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mangsa diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Julai 2022 @ 9:59 AM