KEADAAN kereta mangsa yang dibakar oleh suspek dalam kejadian di Membakut, Beaufort. FOTO Ihsan PDRM
KEADAAN kereta mangsa yang dibakar oleh suspek dalam kejadian di Membakut, Beaufort. FOTO Ihsan PDRM
Juwan Riduan


Beaufort: Seorang lelaki bertindak membakar sebuah kereta milik individu yang disyaki mempunyai hubungan dengan isterinya sebelum ditahan polis, di sini, Sabtu lalu.

Suspek dikatakan pergi ke rumah mangsa yang juga pengadu dalam kes berkenaan di Membakut, sebelum membuka pintu hadapan kereta jenis Toyota Altis, dipercayai dengan niat untuk membakar, lalu bergegas meninggalkan lokasi.

Kelibat suspek dan perbuatannya dilihat abang ipar mangsa, sebelum dia memeriksa dan mendapati bahagian dalam kereta mangsa terbakar.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Ismail Abdullah berkata, hasil siasatan mendapati ketika kejadian, mangsa baru tiba di rumahnya di Membakut lalu dimaklumkan oleh abang iparnya mengatakan suspek bertindak masuk ke dalam kawasan rumah mangsa menggunakan kereta Perodua Bezza.

"Suspek membuka pintu dan membuang sesuatu ke dalam kereta mangsa sebelum meninggalkan lokasi kejadian dalam keadaan tergesa-gesa.

"Hasil pemeriksaan pada kereta mangsa didapati bahagian kerusi hadapan sebelah pemandu, tali pinggang, stering, dashboard dan lapis bumbung terbakar," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kerugian sebanyak RM20,000.

"Susulan laporan yang diterima, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Khas (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort menahan seorang lelaki berusia lingkungan 30 tahun di Sipitang, pada 6.30 petang Sabtu.

"Berdasarkan temubual awal, suspek mengaku membakar dan menyembur kereta mangsa menggunakan cat hitam.

"Perbuatan itu dilakukan disebabkan suspek cemburu dan dendam kerana mendakwa mangsa ada hubungan dengan isteri suspek," katanya.

Ismail berkata, suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 21 April.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2024 @ 4:53 PM