GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Juwan Riduan


Beaufort: Seorang lelaki tergamak memukul dan menampar isteri serta anak lelakinya berusia setahun hanya kerana tidurnya terganggu oleh tangisan kanak-kanak itu dalam kejadian di Kampung Membakut Jaya di sini, semalam.

Malah dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, ketika mengamuk, suspek berusia 27 tahun turut mengugut mahu bunuh dan menggantung isterinya.

Susulan kejadian itu, satu laporan polis dibuat oleh wanita berusia 23 tahun itu di Balai Polis Membakut, pada hari yang sama.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian berlaku pertengkaran antara mangsa dan suaminya yang berpunca daripada anaknya menangis sehingga mengganggu suspek yang mahu tidur.

"Suspek turut memukul anaknya hingga berlaku pertengkaran apabila antara mangsa menegur suaminya itu.

"Suspek yang berang lalu mengamuk dan menampar serta mengatakan mahu bunuh dan menggantung isterinya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Yusoff berkata, mangsa cedera di pipi kemudian dirujuk ke Hospital Beaufort untuk rawatan lanjut.

"Selepas kejadian itu, suspek keluar rumah dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan dan Seksyen 506 kerana melakukan ugutan jenayah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 4:09 PM