KERETA Proton Iswara Aeroback terbakar selepas bertembung dengan sebuah kereta lain di Jalan Bukit Kukus, Kulim, semalam. FOTO Ihsan Pembaca
KERETA Proton Iswara Aeroback terbakar selepas bertembung dengan sebuah kereta lain di Jalan Bukit Kukus, Kulim, semalam. FOTO Ihsan Pembaca
Azahar Hashim


LAPAN orang terselamat apabila dua kereta dinaiki mereka terbakar selepas bertembung di Jalan Bukit Kukus, Kulim, semalam.

Dalam kejadian pada 3.30 petang, Proton Iswara Aeroback yang dipandu wanita, 30-an, bertembung dengan Perodua Bezza dinaiki satu keluarga seramai tujuh orang termasuk kanak-kanak.

Menurut sumber, akibat pertembungan itu, mereka yang cedera ringan berjaya keluar dari kereta terbabit dengan bantuan orang ramai.

“Bagaimanapun, ketika menunggu ambulans di tepi jalan tiba-tiba kereta Proton Iswara Aeroback itu terbakar sebelum merebak ke sebuah kereta lain.

“Orang ramai kemudian menghubungi pasukan bomba untuk bantuan memadamkan kebakaran,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Yusri Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.35 petang lalu sebuah jentera dan sebuah ambulans Perkhidmatan Bantuan Perubatan Kecemasan (EMRS) bersama lapan anggota dihantar ke lokasi.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, usaha memadam kebakaran dijalankan dan api dapat dikawal 10 minit kemudian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, siasatan awal mendapati Proton Iswara Aeroback itu dari arah Kulim menghala ke Lunas, manakala Perodua Bezza dari arah bertentangan.

“Bagaimanapun sebaik tiba di tempat kejadian, kereta Proton Iswara Aeroback terbabit hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Perodua Bezza.

“Dalam kejadian itu, pemandu kereta Proton Iswara dan kereta Perodua Bezza yang dinaiki empat orang dewasa dan tiga kanak-kanak hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Mac 2018 @ 7:07 PM