ROSNI menyusun busana raya yang dijual di Bazar Aidilfitri di Johor Bahru sambil menunggu pelanggan datang ke kedainya. FOTO OMAR AHMAD
ROSNI menyusun busana raya yang dijual di Bazar Aidilfitri di Johor Bahru sambil menunggu pelanggan datang ke kedainya. FOTO OMAR AHMAD
Omar Ahmad


Johor Bahru: "Tahun ini berniaga di Bazar Aidilfitri memang teruk, pakaian kami tidak sampai 50 peratus terjual jika dibandingkan dengan tahun lalu."

Begitu keluhan Rosni Zahari, 45, yang berniaga pelbagai pakaian raya di bazar Aidilfitri di sebuah pasar raya di Jalan Pandan, di sini.

Rosni yang berniaga sejak 20 tahun lalu berkata, situasi sama juga dialami rakan niaganya di Kota Tinggi apabila mendakwa kuasa membeli masyarakat semakin berkurangan.

"Tak tahu kenapa orang ramai tak membeli, orang ada datang berjalan, tetapi hanya melihat sahaja. Sepanjang 20 tahun berniaga, saya rasa tahun ini paling teruk.

"Semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19, jualan kami lebih baik malah ketika itu tidak menang tangan melayan pelanggan membeli-belah.

"Saya rasa bukan peniaga di sini sahaja yang rasa terkesan kerana kuasa membeli kurang, tetapi rakan (peniaga) di Kota Tinggi pun alami perkara sama," katanya.

Katanya, ketika cuti sekolah sebelum ini, ramai orang datang ke Kota Tinggi untuk membeli-belah termasuk baju sekolah dan pakaian raya.

"Jadi kawan-kawan di sana melihat keadaan itu, lalu mereka tambah stok baru untuk dijual sepanjang Ramadan, tetapi malangnya pelanggan pula boleh dikira dengan jari," katanya.

Rosni mengakui faktor cuaca ekstrem juga menjadi penyumbang, sekali gus berharap baki seminggu sebelum ketibaan Aidilfitri akan memberi sinar kepadanya.

"Saya rasa penat, duduk bawah khemah dengan cuaca panas tetapi jualan tidak berbaloi. Mungkin tahun depan saya 'plan' (rancang) untuk berehat setahun," katanya.

Peniaga lain Mizara Ismail, 39, berkata persaingan jualan secara atas talian dan cuaca panas mungkin menjadi faktor menyebabkan jualan di bazar Aidilfitri kurang sambutan.

Menurutnya, jualannya kali ini kurang 70 peratus berbanding tahun lalu.

"Nak kata orang tak datang sini, orang datang ramai. Jumaat, Sabtu dan Ahad pun ramai tetapi kebanyakan yang datang hanya melihat sahaja, tapi tidak membeli.

"Saya harap baki seminggu ini adalah rezeki kami peniaga di sini untuk 'lepaskan' bayaran sewa tapak," katanya.

Sementara itu, pekerja kedai pakaian, Sahratul Janna Salim, 20, berkata situasi jualan ketika ini sangat berbeza dengan tahun lalu malah kemeriahan juga kurang dirasai.

"Kalau tahun lalu, kami pulang jam 2 pagi tetapi kali ini jam 11 malam orang sudah tiada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2024 @ 7:02 AM