Penternak kupang, Othman Sulaiman, 40, menunjukkan pancang kupang yang digunakan untuk menternak kupang di Kampung Telok, Pasir Panjang susulan kejadian kes keracunan makanan berkaitan pengambilan kupang di perairan Pasir Panjang kelmarin. FOTO AZRUL EDHAM
Penternak kupang, Othman Sulaiman, 40, menunjukkan pancang kupang yang digunakan untuk menternak kupang di Kampung Telok, Pasir Panjang susulan kejadian kes keracunan makanan berkaitan pengambilan kupang di perairan Pasir Panjang kelmarin. FOTO AZRUL EDHAM
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Beberapa pengusaha kupang akur apabila kajian menunjukkan kupang di perairan Port Dickson sudah tercemar dan terpaksa dihentikan pengeluarannya demi kesihatan orang ramai.

Semalam, Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) mengesahkan hasil analisis yang dilakukan terhadap kupang dan air di perairan Port Dickson khususnya di Kampung Telok dan Sungai Sekawang di Pasir Panjang, di sini, dicemari biotoksin dan tidak selamat dimakan.

Penternak kupang, Mohd Khairil Mohd Rashid, 31, berkata, dia sudah menternak kupang hampir enam tahun lalu.

Katanya, sehingga kini belum pernah terjadi peristiwa kupang beracun seperti yang berlaku sejak beberapa hari ini hingga menjejaskan perusahaan keluarganya itu.

"Ini pertama kali berlaku sejak keluarga saya mengusahakan ternakan kupang namun akur dengan arahan pihak berwajib agar kami 'berehat' sebentar mengeluarkan kupang terutamanya di musim perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

"Kami nelayan khususnya pengusaha kupang sememangnya terjejas namun kami akur dengan arahan ini demi keselamatan orang ramai terutamanya penggemar kupang," katanya ketika ditemui semalam.

Dia berharap keadaan akan pulih segera dan apa yang agak melegakan, kupang ternakannya tidak mati seperti kerang.

"Keadaan ini memang merugikan kerana kami tidak boleh mengeluarkan kupang untuk dipasarkan sehingga keadaan pulih seperti sedia kala dan kami percaya ia akan pulih biarpun terpaksa mengambil masa sedikit.

"Jika kupang kami habis mati, kerugian mungkin cecah puluhan ribu ringgit dan berharap agar Kementerian Kesihatan dan Jabatan Perikanan buat siasatan serta kajian lebih lanjut lagi," katanya.

Mohd Khairil berkata, sebagai pengusaha, mereka tidak tahu apakah kupang yang diternak sudah dicemari racun sehinggalah berlakunya kes keracunan.

"Kita tidak tahu, kita hanya ternak dan dijual kepada peraih untuk dipasarkan kepada orang ramai sehingga DOF mengeluarkan kenyataan kupang kami ada toksik, kita hanya menjual saja.

"Kemudian kami dimaklumkan ada beberapa orang sudah disahkan mengalami keracunan selepas makan kupang dan kami serahkan kepada pihak berwajib membuat siasatan," katanya.

Penternak lain, Othman Sulaiman, 40, pula berkata, tiada perkara luar biasa yang dilihat berlaku di kawasan perairan itu malah baginya kes kupang mati adalah perkara biasa.

Katanya, dia pasti keadaan itu akan mengambil masa terutama untuk mendapatkan keyakinan pembeli yang bimbang jika terbeli kupang beracun.

"Sebelum ini, dua minggu sebelum raya orang sudah tempah kupang dan biasanya untuk seorang akan tempah sekurang-kurangnya 10kg untuk dibuat rendang dan dimakan di pagi raya.

"Bila jadi macam ini, kami pun tak dapat turun ke laut namun harapnya beberapa hari ini, kami akan dapat turun semula ke laut dan pencemaran kupang pulih kembali secepat mungkin," katanya.

Semalam, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) DOF, Wan Muhammad Aznan Abdullah dilaporkan berkata, dapatan berdasarkan analisis makmal Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur mengatakan kupang di laut Port Dickson disahkan ada berlaku pencemaran.

"Analisis yang dijalankan mendapati terdapat alga berbahaya iaitu spesies Prorocentrum, Alexandrium dan Pseudonitzschia pada sampel kupang yang diambil di perairan Port Dickson.

"Jabatan akan meneruskan pemantauan dengan melakukan pengujian secara berkala mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sehingga kepadatan sel di dalam air berkurang dan biotoksin di dalam isi kupang tidak dikesan," katanya.

Beliau berkata, buat masa ini, orang ramai disarankan tidak mengambil kerangan seperti lala, kerang dan lokan di Port Dickson selain pihaknya tidak membenarkan kerangan itu dijual dan dipasarkan dalam pasaran awam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2024 @ 12:36 PM