Dr Muhamad Akmal Saleh (kiri) menunjukkan bungkusan kombo RM10 berisi tepung, gula, minyak dan nasi impit yang ditawarkan kepada pengunjung sempena Program Semarak Syawal Agro Madani 1445H peringkat negeri di Pasar Tani Merlimau, hari ini. FOTO BERNAMA
Dr Muhamad Akmal Saleh (kiri) menunjukkan bungkusan kombo RM10 berisi tepung, gula, minyak dan nasi impit yang ditawarkan kepada pengunjung sempena Program Semarak Syawal Agro Madani 1445H peringkat negeri di Pasar Tani Merlimau, hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Jasin: Jabatan Perikanan (DOF) Melaka melaksanakan pemantauan secara proaktif dan mengambil langkah pencegahan lebih awal berikutan penemuan alga spesies berbahaya pada sampel air dan kupang di Sebatu di sini.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata penjualan kerang dan kupang di Melaka dihentikan serta-merta bermula Jumaat lalu buat sementara waktu serta pihaknya turut mengeluarkan larangan mengutip kupang atau kerang di perairan negeri itu kepada nelayan.

"Dalam waktu larangan itu, kita ada tempoh inkubasi dan DOF akan meneruskan pemantauan berterusan dengan melakukan pengujian secara berkala dalam tempoh 20 hari.

"Pada minggu depan, sampel kedua dan seterusnya akan diambil … sekiranya tahap keselamatan bacaan biotoksin berada pada paras dibenarkan dan disahkan selamat untuk dimakan pihak kita akan beritahu, tetapi jika masih lagi tercemar kita akan buat makluman," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Semarak Syawal Agro MADANI 1445H @ Pasar Tani Merlimau peringkat negeri di sini hari ini.

Bagaimanapun, Dr Muhamad Akmal berkata tiada kes kejadian keracunan makanan berkaitan pengambilan hasil laut dwicengkerang atau kupang yang dilaporkan di Melaka setakat ini.

Sebelum ini, media melaporkan Jabatan Perikanan melarang orang ramai di Melaka memakan dwicengkerang berkuat kuasa serta-merta, sehingga pemantauan tahap keselamatan bacaan biotoksinnya berada pada paras dibenarkan serta kupang disahkan selamat untuk dimakan.

DOF menerusi kenyataan memaklumkan, hasil analisis dijalankan makmal Biosekuriti terhadap sampel kupang dan air yang diambil dari Sebatu pada 3 April lalu menunjukkan kehadiran alga Alexandrium yang berbahaya kepada kesihatan manusia.

Sementara itu, Dr Muhamad Akmal berkata tujuh lokasi dipilih di Melaka untuk melaksanakan Program Semarak Syawal Agro MADANI bersempena dengan sambutan Aidilftiri kali ini bagi membolehkan pengunjung mendapatkan barangan keperluan untuk persediaan menyambut Syawal dengan harga lebih rendah daripada pasaran.

Beliau berkata ia membabitkan Pasar Tani Selandar, Pasar Tani Masjid Tanah, Pasar Tani Jasin, Pasar Tani Ayer Molek, Pasar Tani Taman Maju, Pasar Tani Alor Gajah dan Pasar Tani Merlimau dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) turut menyasarkan lebih 8,200 pengunjung dan sasaran jualan sebanyak RM410,000.

"Lebih menarik pada program ini pengunjung turut ditawarkan jualan daging iaitu RM28 sekilogram oleh Pembangunan Pertanian Melaka Sdn Bhd, selain FAMA turut menyediakan kira-kira 1,000 ekor ayam yang dijual dengan harga RM10 seekor serta jualan promosi Set Kombo MADANI RM10 iaitu minyak, tepung, gula dan nasi himpit.

"Menerusi program ini sudah tentu ia sedikit sebanyak dapat memberi penjimatan kepada orang ramai berbelanja untuk membeli barangan keperluan bersempena dengan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2024 @ 12:53 PM