PIHAK berkuasa mengambil sampel kipang dan kerang di Kampung Telok serta Sungai Sekawang, Port Dickson. FOTO Ihsan Persatuan Nelayan Kawasan Telok Kemang
PIHAK berkuasa mengambil sampel kipang dan kerang di Kampung Telok serta Sungai Sekawang, Port Dickson. FOTO Ihsan Persatuan Nelayan Kawasan Telok Kemang
BERNAMA

Seremban: Jabatan Perikanan Negeri Sembilan (JPNS) sudah mengambil sampel kupang dan air di perairan Port Dickson susulan dakwaan berlaku kes keracunan makanan akibat makanan laut itu.

Timbalan Pengarahnya Doreen Wee berkata pihaknya menerima laporan pada pagi tadi daripada Hospital Port Dickson berkenaan beberapa individu mengalami keracunan makanan disyaki disebabkan memakan kupang dan kerang.

"Setelah menerima laporan itu, pihak kami terus menjalankan tindakan selanjutnya dengan mengambil sampel air dan kupang di perairan Port Dickson.

"Isu ini masih dalam siasatan dan menunggu keputusan makmal perikanan, mungkin memerlukan tiga hingga empat hari untuk mendapatkan keputusan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Wee berkata pihaknya dimaklumkan terdapat sembilan individu di daerah berkenaan mengalami keracunan makanan akibat memakan kupang dan kerang.

Terdahulu, Pengurusan Persatuan Nelayan Kawasan Telok Kemang mengeluarkan hebahan larangan membeli serta memakan kupang dan kerang tempatan buat sementara waktu berikutan terdapat kes keracunan makanan disyaki berpunca daripada memakan kupang dan kerang dari perairan Port Dickson.

Persatuan berkenaan turut meminta nelayan dan pengusaha supaya menghentikan pengeluaran hasil kupang dan kerang manakala peniaga disaran menarik balik kedua-dua hasil laut itu daripada pasaran.

Larangan berkenaan katanya, adalah bersifat sementara bagi memberi laluan kepada Jabatan Kesihatan untuk mengawal kes itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2024 @ 5:23 PM