Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Peniaga terlepas hukuman gantung sampai mati apabila Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan mengedar dadah, enam tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim Fathiyah Idris selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh Lim Chon Kuang, 31.

Chon Kuang yang berada dalam kamar mahkamah ketika keputusan itu dibacakan terhadapnya menarik nafas lega dan berterima kasih terhadap peguamnya K Mahendran.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah jenis monoacetylmorphines seberat 185.71 gram (g) di hadapan syarikat SY Online Venture Sdn Bhd, Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan pada 9 pagi 29 November 2018.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Ketika perbicaraan sebelum ini, pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Sariza Ismail memanggil tujuh saksi untuk memberi keterangan.

Bagaimanapun, Fathiyah memberitahu selepas meneliti semua aspek daripada kedua-dua pihak iaitu pendakwaan dan pembelaan mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Berikutan itu, katanya mahkamah membuat keputusan dengan melepas dan membebaskan tertuduh daripada pertuduhan terbabit.

Sebaik mendengar keputusan itu, tertuduh bergegas mendapatkan ahli keluarga termasuk memeluk ibunya yang turut hadir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2024 @ 12:54 PM
Lim Chon Kuang terlepas daripada hukuman mati apabila Mahkamah Tinggi Butterworth, melepaskan dan membebaskannya daripada pertuduhan mengedar dadah, enam tahun lalu. FOTO DANIAL SAAD
Lim Chon Kuang terlepas daripada hukuman mati apabila Mahkamah Tinggi Butterworth, melepaskan dan membebaskannya daripada pertuduhan mengedar dadah, enam tahun lalu. FOTO DANIAL SAAD