Kuala Lumpur: Seorang tukang masak, hari ini, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi, di sini, daripada pertuduhan mengedar dadah jenis Methamphetamine di sebuah hotel di Bandar Sri Petaling, dua tahun lalu.

Hakim Kamardin Hashim membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadap Kong Chee Fatt, 28, di akhir kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Kamardin berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen jagaan dan kawalan serta pengetahuan tertuduh terhadap dadah tersebut.

“Pihak pendakwaan juga gagal memanggil saksi-saksi penting di tempat kejadian yang bertindak sebagai pemberi maklumat.

“Sehubungan itu, adalah tidak selamat untuk tertuduh dipanggil membela diri. Oleh itu, mahkamah melepas dan membebaskan kamu daripada pertuduhan ini tanpa perlu dipanggil membela diri,” katanya.

Kong menghadapi tuduhan mengedar dadah itu, seberat 1,479.2 gram di kawasan letak kereta basement 2, Hotel Sri Petaling, Jalan Radin Anum, Bandar Sri Petaling di sini pada 7 malam, 11 Nov 2013.

Bagi kesalahan itu, Kong yang diwakili peguam Chen Woon Yong didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nordin Ismail yang memanggil tujuh saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2015 @ 6:09 PM