Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Jurujual dan bekas teman wanitanya terlepas hukuman gantung apabila Mahkamah Tinggi, di sini hari ini mengetepikan sabitan atas kesalahan memiliki dan mengedar dadah, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid yang membuat keputusan membebaskan Goo Woei Tye, 33, dan Yang Wendy, 25, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie di akhir pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, Goo didakwa memiliki dadah ekstasi seberat 2.78 gram.

Manakala mereka secara bersama menghadapi tiga pertuduhan mengedar ekstasi seberat 91.22 gram dan 71.33 gram serta ketamin seberat 14.89 gram.

Selain itu, kedua-duanya secara bersama-sama turut didakwa memiliki dadah jenis sama seberat 40.14 gram.

GOO Woei Tye dan Yang Wendy terlepas hukuman gantung apabila mahkamah melepas dan membebaskan tanpa dipanggil untuk membela diri atas lima pertuduhan mengedar dan memiliki dadah empat tahun lalu di Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Johor FOTO Nur Aisyah Mazalan
GOO Woei Tye dan Yang Wendy terlepas hukuman gantung apabila mahkamah melepas dan membebaskan tanpa dipanggil untuk membela diri atas lima pertuduhan mengedar dan memiliki dadah empat tahun lalu di Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Johor FOTO Nur Aisyah Mazalan

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah pangsapuri di Jalan Dato' Abdullah Tahir, di sini pada 6.45 petang, 12 November 2017.

Bagi pertuduhan mengedar dadah, pasangan itu didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala bagi pertuduhan memiliki didakwa mengikut Seksyen 12(2) akta yang sama.

Seramai lima saksi pendakwaan dipanggil sepanjang perbicaraan berlangsung.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Faizal Noor Hadi manakala kedua-dua tertuduh diwakili Mohd Daud Ismail dan R K Menon.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 1:30 PM