Datuk Seri Alexander Nanta Linggi
Datuk Seri Alexander Nanta Linggi
Mohd Roji Kawi


Kuching: Peruntukan tambahan yang diumumkan selain peruntukan diminta Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam Belanjawan 2024 menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam merealisasikan hasrat untuk meningkatkan taraf hidup rakyat menerusi penyediaan kemudahan asas bertaraf dunia.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, secara keseluruhan KKR menerima RM9.511 bilion peruntukan bagi tahun 2024, iaitu peningkatan sebanyak 12.7 peratus berbanding RM8.439 bilion yang diterima pada tahun 2023.

Menurutnya, jumlah bajet mengurus KKR yang diluluskan pula adalah sebanyak RM949.37 juta iaitu kenaikan sebanyak 9.72 peratus berbanding RM865.27 juta yang diterima untuk tahun 2023.

"Bajet pembangunan tahun 2024 yang diluluskan adalah sebanyak RM8.561 bilion berbanding RM7.573 bilion pada tahun 2023 dengan kenaikan sebanyak 13.05 peratus.

"KKR menyambut baik pembentangan

Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendukung wawasan Ekonomi MADANI yang dirangka untuk membina semula negara supaya gemilang, terangkum dan mampan.

"Ini asas penting untuk mengangkat semula darjat dan martabat negara melalui penstrukturan semula ekonomi demi meningkatkan kualiti hidup seluruh rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nanta berkata, dengan peruntukan yang diagihkan sebelum ini,setakat bulan Ogos lalu, KKR sudah melaksanakan kerja membaik pulih lebih 4,100 jalan berlubang di Jalan Persekutuan.

Justeru katanya, peruntukan sebanyak RM2.8 bilion yang disediakan dalam Belanjawan 2024 untuk menyelenggara jalan dan jambatan Persekutuan menepati hasrat KKR untuk terus memperkasakan Kempen MYJalan KKR.

"Sebanyak RM300 juta pula dikhususkan kepada kontraktor kecil Bumiputera G1

hingga G4 yang layak dan berdaftar dengan CIDB melalui Kerja Undi dan Arahan

Kerja bagi mengelakkan kesenjangan peluang dan turut memperbaiki ruang

pembangunan semula kemampanan kontraktor untuk terus berdaya saing dalam era revolusi industri.

"Khidmat Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) akan terus diperkasa menerusi peningkatan peruntukan kepada RM200,000 berbanding RM100,000 kepada 115 jurutera daerah dengan peruntukan keseluruhan RM30 juta bagi menangani aduan kecil dan luar jangka membabitkan Jalan Persekutuan dalam kadar segera," katanya.

Bagi menambahbaik aspek kejuruteraan katanya, sejumlah RM100 juta disediakan bagi menyelenggara lampu jalan termasuk menggantikan kepada jenis LED yang dapat menjimatkan elektrik sehingga 60 peratus.

"Sebanyak RM50 juta lagi disediakan untuk merawat kawasan berkemalangan tinggi antaranya menaik taraf lampu isyarat sedia ada kepada lampu isyarat pintar di Jalan Persekutuan yang turut membantu mengurai kesesakan laluan trafik," katanya.

Bagi memudahkan pergerakan rakyat selain

melancarkan aktiviti perdagangan dan menjana ekonomi setempat, kerajaan memastikan ketersambungan jaringan jalan yang baik disediakan.

"Untuk itu, projek infrastruktur utama jalan raya akan terus diperhebat seperti Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak yang bakal siap sepenuhnya tahun hadapan.

"Bagi projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B dengan jajaran 366 kilometer membabitkan kos RM15.7 bilion pula, proses tender bagi 19 pakej kerja untuk projek itu akan diselesaikan bulan November

ini.

"Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) Fasa 2 dengan jajaran lebih 320 kilometer membabitkab kos hampir RM7.4 bilion juga mula dilaksanakan penghujungtahun ini," katanya.

Menurutnya, kerajaan turut menyediakan peruntukan berjumlah RM931 juta bagi melaksanakan projek pelebaran Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) daripada empat kepada enam lorong dilanjutkan sepanjang 18 kilometer dari Sedenak ke Simpang Renggam, Johor.

"Projek itu dilaksanakan selepas mengambil kira keperluan peningkatan kenderaan di laluan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2023 @ 1:39 PM